Sabtu, 23 Mac 2013

Polis Masih Siasat Dakwaan Surirumah Jadi Tebusan


LAHAD DATU: Timbalan Persuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang berkata pihak polis kini masih menyiasat sama ada terdapat kaitan kumpulan penjenayah Kiram dalam kejadian seorang suri rumah yang mendakwa menjadi tebusan empat lelaki di rumahnya di Kembara Sakti, Felda Sahabat 43 di sini kelmarin.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya masih belum mengenal pasti mana-mana suspek yang terlibat dalam kejadian itu.

“Kita masih menyiasat kejadian itu dan setakat ini tidak ada tanda-tanda penglibatan kumpulan pengganas,” katanya pada sidang akhbar di sini, kelmarin.

Menurut Tan, pada masa ini pihak polis masih menyiasat dan berada di kawasan berkenaan bagi mengesan dan memastikan keselamatan penduduk di kawasan terbabit.

“Kita masih belum mengenal pasti mana-mana suspek terlibat di kawasan perumahan berkenaan dan dalam kejadian itu juga tiada tembak menembak dilaporkan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata berdasarkan siasatan awal pihaknya juga percaya kebakaran yang berlaku kemungkinan akibat kecuaian.

“Kawasan berkenaan telah dikawal ketat oleh pihak polis bagi memberi keyakinan kepada penduduk setempat mengenai keselamatan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Tan berkata pada masa ini seramai 63 pengganas kumpulan Kiram telah ditembak mati dan 30 mayat musuh telah dikeluarkan.

Manakala, jumlah mereka yang ditangkap mengikut Seksyen 130 (c) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-langkah khas)2012 (SOSMA) masih berjumlah 108 orang.

“Jumlah lain-lain tangkapan ialah 285 orang di mana 283 ditahan di bawah kesalahan imigresen, dan masing-masing satu di bawah kesalahan pendaftaran negara dan kesalahan memiliki bahan letupan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan