Jumaat, 15 Mac 2013

Bedil Sarang Pengganas

Pasukan keselamatan membedil lokasi persembunyian pengganas

Kampung Sungai Nyamuk kini menjadi sasaran pasukan keselamatan selepas pertempuran dengan kumpulan pengganas di kampung itu, Selasa lalu, mengorbankan Allahyarham Koperal Ahmad Hurairah Ismail, 24.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, berkata pihaknya menyerang lokasi spesifik yang dipercayai menjadi tempat persembunyian pengganas di kampung itu selepas mereka melarikan diri dari Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu. 

“Kita melancarkan serangan mortar dulu sebelum melakukan operasi mencari dan menggeledah. Bagaimanapun, sejak petang semalam (kelmarin) tiada pertempuran dengan pengganas. Kita percaya mereka masih bersembunyi di kampung itu,” katanya pada sidang media bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar di FELDA Sahabat 16 dekat sini, semalam.

Allahyarham Ahmad Hurairah terkorban ketika bertempur dengan lima pengganas Sulu di kawasan ladang kelapa sawit di kampung itu pada jam 10.30 pagi, Selasa lalu.

Beliau yang ditugaskan sebagai ‘pointer’ iaitu anggota tentera paling depan dalam kumpulannya untuk menjejaki musuh, dipercayai ditembak penembak tepat musuh.

Allahyarham dari Batalion Ke-7 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Kukusan Tawau, Sabah dan berasal dari Pasir Mas, Kelantan gugur di tempat kejadian. Dua pengganas berjaya dibunuh pasukan keselamatan dalam pertempuran itu.

Zulkifeli berkata, pasukan keselamatan kini memperkecil kawasan kepungan di Kampung Sungai Nyamuk dan Kampung Tanjung Batu, selain meneruskan operasi mencari dan menggeledah di Kampung Sungai Bilis dan Kampung Tanjung Labian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan