Isnin, 18 Mac 2013

Diserang Buaya Ketika Memancing

Mangsa serangan buaya dihantar ke HUS untuk mendapatkan rawatan

KUCHING: Seorang lelaki berusia 20 tahun berdepan situasi cemas apabila diserang seekor buaya ketika memancing di sebuah sungai di Simunjan pada malam Sabtu lepas.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 9 malam itu, mangsa berjaya melepaskan diri daripada serangan itu walaupun menurutnya dia diheret oleh reptilia itu ke dalam sungai.

Mangsa yang mengalami kecederaan di kaki kanan dibawa ke Hospital Simunjan bagaimanapun dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) sekitar jam 1 petang semalam bagi membolehkannya mendapat rawatan lanjut.

Ketika ditemui di HUS semalam, mangsa memberitahu bahawa saiz sebenar buaya yang menyerangnya tidak diketahui kerana ketika itu keadaan gelap.

Menurutnya dia dengan tiba-tiba berasa sangat sakit pada kaki kanannya dan hanya menyedari dirinya diheret ke dalam sungai.

Dia berjaya melepaskan diri selepas bergelut sekuat hati untuk melepaskan diri daripada serangan itu.

Saudara lelakinya yang melihat mangsa diserang terus membantunya dan membawanya ke Hospital Simunjan. - UTUSAN BORNEO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan