Sabtu, 16 Mac 2013

38 Anggota Pengganas Sulu Hadir Inkues Di Filipina


MANILA - Setiausaha Kehakiman, Leila de Lima semalam menyatakan, seramai 38 orang yang mendakwa sebagai anggota tentera Jamalul Kiram III telah menghadiri prosiding inkues kelmarin selepas ditahan ketika melarikan diri dari Sabah pagi Rabu lalu di Tawi-Tawi.

Menurut akhbar dalam talian GMA News, de Lima berkata, inkues itu berakhir pada pukul 8 malam. Inkues dilakukan oleh pendakwa raya bagi menentukan sama ada penangkapan tanpa waran itu melibatkan sabitan jenayah.

Menurut de Lima, tuduhan terhadap para pengikut ketua gerombolan pengganas Sulu di Sabah, Azzimuddie Kiram itu akan difailkan di Mahkamah Perbicaraan Daerah Bongao, Tawi-Tawi.

Kesemua mereka akan dituduh kerana melanggar larangan memiliki senjata dan Perkara 118 Semakan Kanun Keseksaan kerana menghasut berperang atau bermotifkan balas dendam.

Kelmarin Tentera Laut Filipina berjaya memintas dua buah bot di perairan Tawi-Tawi yang membawa 38 pengikut Azzimuddie Kiram ketika cuba masuk ke negara ini selepas melarikan diri dari Sabah.

Para pengikut itu menceroboh Lahad Datu pada 12 Februari lalu. Azzimuddie merupakan adik Jamalul Kiram III yang merupakan pemimpin puak pengganas Sulu.

Ketika pemeriksaan dibuat ke atas dua bot para pengikut itu, pihak tentera laut Filipina menemui sejumlah senjata termasuk M16 dan senapang patah. Sementara itu, jurucakap pemimpin puak pengganas Sulu, Abraham Idjirani berkata, pihaknya akan menghantar sepasukan peguam ke Tawi-Tawi untuk mengesahkan sama ada mereka yang ditahan itu pengikut Jamalul Kiram.

Tindakan itu dibuat selepas stesen radio dzBB melaporkan isteri Jamalul Kiram, Fatima Cecilia mendakwa hanya 22 daripada 38 yang ditahan itu merupakan pengikut suaminya. - AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan