Sabtu, 16 Mac 2013

Ditahan Cuba Masuk Kawasan Operasi

Gambar Hiasan

LAHAD DATU - Pasukan keselamatan menahan lapan lelaki warga Filipina yang cuba memasuki kawasan operasi dengan menaiki bot laju di Sungai Bilis di sini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah malam itu, pihak polis turut menemui 300 tong minyak kosong dan wang tunai Filipina berjumlah 369,000 peso (RM28,000) yang dibawa suspek.

"Pemuda berusia antara 17 dan 29 tahun itu akan disoal siasat bagi memastikan tujuan mereka memasuki kawasan operasi berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Panglima 1 Divisyen, Infantri Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Zaki Mokhtar.

Menurut Hamza, kes berkenaan berkemungkinan akan disiasat mengikut Seksyen 130 (c) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Beliau berkata, pasukan keselamatan bagaimanapun tidak menemukan sebarang senjata daripada kesemua suspek yang ditangkap.

Dalam pada itu, katanya, kini pasukan keselamatan menumpukan operasi di sekitar kawasan Kampung Tanjung Batu.

Menurutnya, pasukan keselamatan setakat ini, sudah berjaya membersihkan kawasan Kampung Tanduo dan Sungai Nyamuk tetapi masih meletakkan anggota bagi memastikan musuh tidak memasuki semula lokasi berkenaan.

"Walaupun sudah dibersihkan, orang ramai khususnya penduduk kampung masih tidak dibenarkan memasuki perkampungan tersebut," katanya. - UTUSAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan