Sabtu, 16 Mac 2013

Terlepas Hukuman Mati


MIRI: Enam lelaki yang menghadapi tuduhan membunuh seorang lelaki lain dua tahun lalu, terlepas hukuman mati apabila Mahkamah Tinggi, di sini semalam memerintahkan empat daripada mereka dibebaskan dan dilepaskan daripada tuduhan itu dan dua lagi dipanggil membela diri atas tuduhan pindaan iaitu membunuh tanpa niat.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Pesuruhjaya Kehakiman, Stephen Chung Hian Guan setelah meneliti hujah kedua-dua pihak pendakwa dan peguam bela tertuduh pada akhir perbicaraan penuh kes tersebut.

Ketika membacakan keputusannya, beliau berkata mahkamah mendapati pihak pendakwa gagal mengemukakan sebarang bukti kukuh yang boleh menyabitkan empat daripada tertuduh terbabit dengan kesalahan yang didakwa.

Justeru, beliau kemudian memerintahkan keempat-empat tertuduh terbabit iaitu Masirwan Ariffin, Mohamad Khairul Yunus, Mohd Ramzhi Mohamad dan Muhammad Akmal Aminudin dibebaskan dan dilepaskan daripada tuduhan membunuh tersebut.

Begitupun, menurut Stephen, mahkamah mendapati ada kes terhadap dua lagi tertuduh iaitu Hii Tiong Hsia dan Muhamad Saufi Ismail dan kemudian memanggil kedua-duanya untuk membela diri atas tuduhan pindaan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh tanpa niat.

Mengikut kesalahan ini, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan tuduhan asal, semua tertuduh yang berusia antara 21 hingga 30 tahun dituduh melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Mohammad Sofri Osman, 22.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama seorang lagi yang masih bebas pada jam 10.30 malam, 11 Mei 2011 di hadapan Lot 3148, Desa Indah 3, Bandar Baru Permyjaya di sini.

Seramai 22 orang saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan masing-masing dalam perbicaraan kes tersebut untuk menyabitkan semua tertuduh dengan kesalahan didakwa.

Pendakwaan kes pagi semalam dilakukan Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Mohd Syakil Zulkifli yang menggantikan sementara pendakwa asal TPR, Stella Augustine Druce.

Manakala Masirwan dan Muhamad Saufi diwakili peguam bela, Firdaus Morshidi dan Mohamad Khairul, Hii, Mohd Ramzhi dan Muhammad Akmal diwakili peguam bela, Shaik Rajjish.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 dan 23 April depan untuk mendengar keterangan bela diri dua tertuduh terbabit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan