Sabtu, 16 Mac 2013

Empat NGO Di Miri Kecam Tian Chua

Ahli-ahli empat NGO di Miri mengadakan bantahan terhadap Tian Chua

MIRI: Kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua menuduh insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah sebagai sandiwara politik UMNO bukan hanya menimbulkan kemarahan rakyat di Semenanjung Malaysia tetapi juga di negeri ini.

Berikutan itu, empat laporan polis telah dibuat oleh empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini yang mengecam kenyataan Anggota Parlimen Batu itu sebagai tindakan menghasut.

Empat pertubuhan terbabit ialah Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) Cawangan Miri, Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Miri, Rukun Tetangga (RT) Piasau Jaya 2 dan Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Miri.

Semasa membuat laporan polis semalam, PEKIDA diwakili oleh pengerusinya, Sarbeni Japar, PBTM Miri diwakili Kawi Abos selaku pengerusi tetap, Samion Gani (pengerusi RT Piasau Jaya 2) dan Naziman Rahmat (setiausaha PBPM Miri).

Mereka berhimpun seawal jam 8.30 pagi dengan membawa gambar-gambar dan beberapa sepanduk yang mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Tian Chua.

Ketika ditemui di pekarangan balai polis di sini semalam, kumpulan terbabit yang diwakili, Samion selaku jurucakap mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan segera terhadap Tian Chua termasuk melucutkan kewarganegaraannya yang dianggap sebagai pengkhianat negara serta bacul.

Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 50, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis lalu atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut dengan membuat empat kenyataan berhubung isu Lahad Datu.

Empat kenyataan itu ialah serangan tembak-menembak di Lahad Datu dipercayai konspirasi terancang kerajaan UMNO untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat; insiden berkenaan menimbulkan banyak persoalan dan keraguan di sebalik wayang mainan kerajaan UMNO; menyifatkan pencerobohan di Lahad Datu hanya sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah dan ada konspirasi oleh kerajaan UMNO untuk mengalih pandangan rakyat Sabah terutama isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di No. 62-2-A Fraser Business Park, Jalan Metro Pudu off Jalan Yew, Kuala Lumpur pada jam 11 pagi, 1 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, Tian Chua didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum menurut Seksyen 4 (1) akta sama yang membawa denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. - UTUSAN BORNEO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan