Jumaat, 22 Mac 2013

Pengganas Sulu Perlu Diwakili Peguam


TAWAU: Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata lapan lelaki Filipina yang didakwa di Mahkamah Tinggi di sini semalam perlu diwakili peguam bagi membela mereka demi keadilan dan atas dasar kemanusiaan.

Abdul Gani berkata disebabkan prinsip itu, beliau memohon mahkamah supaya tidak mencatatkan sebarang pengakuan tertuduh sehingga diwakili peguam masing-masing.

Katanya, Jabatan Peguam Negara akan menghubungi kedutaan Filipina esok (hari ini) sekiranya mereka berhasrat melantik peguam bagi pihak warganegaranya.

“Kelapan-lapan mereka telah dituduh tetapi saya meminta supaya hakim tidak mengambil pengakuan sebab sebagai pendakwa raya, saya berpendapat bahawa mereka harus diwakili peguam kerana hukumannya adalah berat.

“Kita ada peruntukan di mana bagi dua tertuduh di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan (melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong), ia membenarkan kerajaan melantik peguam untuk mereka, mahkamah akan melantik peguam dan kerajaan akan bayar.

“Walaupun tuduhan di bawah Seksyen 130KA Kanun Keseksaan (menjadi ahli pengganas) yang dihadapi tertuduh lain tidak membawa hukuman mati, namun saya memberi jaminan kepada mahkamah bahawa saya akan cuba seberapa boleh untuk dapatkan peguam. Bukan atas apa tetapi atas prinsip kemanusiaan, seseorang yang dituduh harus mendapat pembelaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau.

Bagi tujuan yang sama, beliau juga telah berbincang dengan Sabah Law Association untuk membantu mendapatkan peguam bagi pihak tertuduh dan pagi kelmarin, beliau menghubungi Presiden Majlis Peguam Christopher Leong untuk membantu.

“Presiden Majlis Peguam di Kuala Lumpur juga saya hubungi dan mereka pun bersedia untuk membantu apa yang mereka boleh. Namun, Sabah Law Association adalah badan yang bertanggungjawab di Sabah. Mereka ada undang-undang, peguam di Semenanjung bukan sewenang-wenangnya dapat masuk untuk praktis di sini.

“Tetapi terpulang kepada mereka. Saya akan berbincang dengan mereka. Saya jangkakan mereka akan menyediakan peguam bagi kes ini,” katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan