Khamis, 21 Mac 2013

Kuarters Ranap Dijilat Api


MIRI: Tujuh pekerja kontrak tinggal sehelai sepinggang apabila kuarters mereka ranap dijilat api dalam kebakaran yang berlaku di kawasan Piasau Utara di sini petang semalam.

Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa dilaporkan berlaku memandangkan ketika kejadian semua penghuninya keluar bekerja di kawasan berhampiran.

Menurut sumber, kebakaran berlaku sekitar jam 2.50 petang dan ia hanya disedari oleh para penghuninya setelah ternampak kepulan asap tebal datang dari arah kuarters mereka.

Serentak itu, mereka bergegas pulang untuk menyelamatkan harta benda masing-masing namun hampa kerana semasa mereka tiba, api telah marak meranapkan sebahagian besar daripada kuarters berkenaan.

Dalam pada itu, menurut salah seorang penghuni yang hanya dikenali sebagai Inap, 40-an dan berasal dari Lapok, kuarters itu menempatkan empat bilik yang dihuni tujuh pekerja.

“Kami hanya menyedari kuarters terbakar apabila ternampak kepulan asap tebal datang dari arah sini dan serentak itu bergegas pulang untuk menyelamatkan harta benda namun hampa kerana api sangat marak,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan