Sabtu, 7 Julai 2012

Anggota Polis Cedera Parah Ditembak

JOHOR BAHARU: Seorang anggota polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya bertarung nyawa selepas ditembak empat kali di luar sebuah pusat hiburan di Nusa Bestari pagi semalam.

Konstabel Snilus Lembik, 24, yang berasal dari Salim, Sibu, Sarawak ditembak apabila seorang lelaki merampas pistolnya jenis Walther P99 dan menembak bahagian perutnya sebanyak empat kali.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi apabila dikatakan telah tercetus satu pergaduhan antara mangsa dengan lelaki tersebut yang dipercayai mabuk selepas minum di pusat hiburan itu yang terletak di tingkat satu premis ber-kenaan, ketika berlangsung perlawanan akhir Euro 2012 antara Sepanyol dan Itali.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintenden Noor Hashim Mohamed yang mengesahkan kejadian itu berkata polis sampai ke tempat kejadian beberapa minit selepas dimaklumkan mengenai pergaduhan itu.

“Kita telah menahan empat lelaki berusia 18 hingga awal 20-an termasuk lelaki yang melepaskan tembakan itu,” katanya.

Menurut beliau, Snilus yang kini berada dalam keadaan koma ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Aminah di sini. Kes diklasifikasikan sebagai cubaan bunuh yang disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, ibu bapa Snilus sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan tiba di Lapangan Terbang Senai malam tadi. Snilus yang masih bujang telah bertugas sebagai ang-gota polis hampir tiga tahun - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan