Ahad, 22 Julai 2012

Bobo Raja Lawak Perlukan Penderma Buah Pinggang Segera


ALOR SETAR : Ahli kumpulan Lucky dari program Raja Lawak 5 (RL5), Khairul Nazmi Rodzy atau Bobo,24, kini berada dalam keadaan kritikal di hospital Kedah Medical Centre akibat menghidap penyakit buah pinggang dan darah tinggi.

Berita sedih ini disampaikan sendiri oleh anggota ahli Lucky, Mohd Hazwan Mohd Azani atau Hazone yang memberitahu bahawa kedua-dua buah pinggang Bobo sudah tidak berfungsi lagi.

“Keadaan Bobo sangat kritikal dan dia tidak sedarkan diri. Saya dapat tahu berita ini pun dari abang Bobo sendiri iaitu Khairul Nazwan yang ketika ini memegang telefon bimbit Bobo.

“Saya turut difahamkan, Bobo sudah 5 hari dirawat di Kedah Medical Centre. Setakat ini, saya masih belum ada kesempatan untuk melawatnya memandangkan saya kini berada di Kuala Lumpur.

“Insya-Allah, dalam masa terdekat ini saya dan rakan RL5 yang lain akan pergi melawatnya,” ujarnya kepada murai.com.my.

Bagi mendapatkan kepastian mengenai hal ini, portal murai.com.my cuba menghubungi abang Bobo, Khairul Azwan. Namun, dengan tidak disangka, Bobo ketika itu sudah sedarkan diri dan mampu menjawab panggilan tersebut. Pun begitu, dia masih lagi tidak bermaya dan sedang menunggu waktu untuk membuat pembedahan pada hari ini.

“Saya baru saja sedar. Sudah 5 hari saya dalam wad. Sebentar lagi, dalam jam 12 tengah hari, saya akan menjalani pembedahan kecil untuk memasukkan alat tukar darah ke dalam badan di bahagian dada.

“Kedua-dua buah pinggang saya sudah tidak berfungsi dan saya memerlukan buah pinggang yang baru. Dalam tempoh itu, saya akan menjalani rawatan dengan mencuci darah tiga kali seminggu.

“Selagi belum ada buah pinggang baru, saya akan terus menjalani rawatan ini untuk terus hidup,” katanya.

Sementara itu, Bobo sempat memberitahu bahawa sebelum ini dia tidak pernah dilaporkan mengidap sebarang penyakit merbahaya.

“Sebelum ini, saya tidak ada sakit apa-apa. Pun begitu, doktor memberitahu saya penyakit buah pinggang ini adalah sakit yang merebak dalam diam atau dikenali sebagai silent killer.

“Saya mula rasa sakit sewaktu saya menjalani penggambaran drama Kuli Kuat Kopang untuk Astro Warna. Selepas sakit, saya terus bergegas pulang ke Kedah dari Port Dickson,” jelasnya.

Bagi sesiapa yang berniat untuk mendermakan buah pinggang kepada Bobo, anda boleh terus hubungi keluarga Bobo dengan melusuri laman facebook abang Bobo iaitu FB.Khairunazwan Rodzy.

Warga murai.com.my mendoakan agar Bobo cepat sembuh dan berjumpa penderma buah pinggang dalam masa terdekat.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan