Isnin, 16 Julai 2012

Budak Tiga Tahun Bermalam Di Balai Polis


KUCHING: Seorang kanak-kanak berumur tiga tahun terpaksa bermalam di balai polis setelah ditemui merayau seorang diri di Jalan Stutong Baru, awal pagi semalam.

Kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Didi ditemui oleh tiga remaja, berjalan kaki seorang diri sambil membawa sepasang baju.

Menurut salah seorang remaja tersebut, kanak-kanak itu pada mulanya takut dan menangis ketika ditanya arah tuju dan di mana ahli keluarganya.

“Dia enggan bercakap banyak dan kami tidak sampai hati melihat dia seorang diri di jalan, takut dia diapa-apakan, jadi kami ambil keputusan untuk menghantarnya ke balai,” katanya.

Mereka membuat laporan di Balai Polis Simpang Tiga sekitar jam 2.10 pagi.

Kanak-kanak itu yang kelihatan gelisah dan menangis akhirnya berjaya ditenangkan oleh polis dan kemudiannya tertidur.

Ibu kanak-kanak itu yang menyedari kehilangannya membuat laporan polis dan kemudiannya datang ke Balai Polis Simpang Tiga untuk mengambil anaknya.

Kedua-dua anak-beranak yang berasal dari Asajaya itu dikatakan bermalam di rumah kawannya. Menurut wanita tersebut, dia meninggalkan anaknya yang sedang tidur kerana hendak keluar makan.

Bagaimanapun, dia terlupa menutup pintu belakang dan dipercayai, anaknya keluar dari rumah untuk mencari ibunya - Utusan Borneo


Tiada ulasan:

Catat Ulasan