Setelah lama diburu akhirnya tertangkap jua
SARATOK: Buaya jantan yang dipercayai membaham isteri Tuai Rumah Embol Asom dari Sungai Anak, Pelunga Roban, dua minggu lalu berjaya ditewas setelah memakan pancing berumpankan anjing yang dipasang pawang buaya Indet Sanabong.
Kepastian bahawa buaya terbabit adalah Bujang Seblak yang bertanggungjawab membaham Siah Monsung adalah berdasarkan terdapat kesan tembakan di bawah dagu buaya terbabit yang masih jelas kelihatan.
Perkara ini turut mendapat kepastian daripada pawang buaya Indet Sanabong yang terkenal dengan pengalaman selama 34 tahun dalam bidang memburu buaya.
Buaya sepanjang 12 kaki itu berjaya didaratkan oleh Indet bersama seorang pembantu dan dua penduduk kampung terbabit pada sekitar jam 8 pagi semalam.
Berdasarkan cerita yang di-sampaikan oleh penduduk kampung terbabit, satu tepukan di kepala reptilia terbabit telah menyebabkan ia terus diam dan menuruti kata-katanya (Indet).
“Pada mulanya, buaya yang terkena pancing pawang yang hanya bertali rotan itu begitu kuat meronta dan seolah-olah mahu menyerang balas.
“Namun sebaik sahaja pawang berkenaan membaca menteranya dan menepuk di kepala buaya tersebut ia terus berhenti dan seolah-olah menjadi bodoh dan menuruti segala perintah pawang berkenaan,” cerita mereka yang ditemui oleh pemberita semalam.
Sementara itu, Indet, 49, berkata beliau amat yakin buaya yang membunuh isteri Tuai Rumah Embol adalah buaya yang berjaya ditewaskannya itu.
“Salah satu bukti yang paling nyata kita dapat lihat ialah satu kesan tembakan yang terdapat di bawah dagu buaya ini.
“Tambahan pula, tugas saya selaku pawang buaya ini adalah hanya menewaskan mana-mana buaya yang pernah berbuat dosa iaitu dengan menjadikan manusia sebagai mangsa mereka atau dalam bahasa Iban ‘Puni’, memakan daging manusia. Ini bermaksud mana-mana buaya yang pernah memakan daging manusia akan dikira berdosa dan saya yakin ia tidak akan terlepas dari memakan umpan yang telah dipasang dan semua perkara itu sudah termeterai dalam perjanjian men-tera saya,” jelas Indet.
Tambahnya, buaya terbabit telah memakan umpan yang telah dipasang mereka di kawasan Lubok Sungai Nyiar, iaitu kawasan buaya besar berkenaan sering timbul.
“Tugas saya memancing buaya di Sungai Seblak untuk memburu buaya yang bertanggungjawab akan saya hentikan hari ini (semalam) kerana saya yakin bahawa buaya yang bertanggungjawab dalam melakukan serangan terhadap isteri Tuai Rumah Embol telah berjaya ditangkap,” katanya.
Pada seminggu lepas Indet juga telah berjaya menewaskan dua ‘orang kanan’ Bujang Seblak iaitu seekor buaya jantan yang dikenali sebagai Bujang Muara sepanjang 9.2 kaki dan seekor buaya betina dikenali dengan jolokan ‘Dara Nanga’ sepanjang 8.9 kaki.
Kedua-dua buaya terbabit telah memakan umpan yang dipasang oleh Indet di kawasan kira-kira satu kilometer dari muara Sungai Anak.
Sementara itu, pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) yang turut sama melancarkan gerakan memburu buaya bermasalah di Sungai Seblak sejak beberapa hari lepas turut mendapat seekor buaya betina sepanjang sembilan kaki berhampiran muara Sungai Anak.
Pada masa yang sama, buaya yang diberikan jolokan penduduk setempat dengan nama Bujang Seblak telah dibawa ke pekan Roban dengan menggunakan bot dari Sungai Anak.
Ketibaan buaya terbabit di pekan kecil Roban ‘disambut’ oleh ribuan penduduk yang telah bersedia untuk melihat sendiri buaya berkenaan dan ia telah dibawa ke balai polis untuk tindakan yang selanjutnya iaitu pengumpulan data.
Namun begitu pelbagai persoalan timbul daripada mulut masyarakat setempat, khususnya yang pernah bertembung dengan buaya terbabit di sungai berkenaan.
Persoalannya, adakah buaya berkenaan betul-betul Bujang Seblak atau buaya biasa kerana buaya yang diberi jolokan Bujang Seblak menurut penduduk mempunyai saiz yang amat besar, iaitu saiz belakangnya hampir menyamai sebuah kereta Kancil.
Tetapi buaya yang berjaya ditewaskan bersaiz sederhana sahaja kata mereka dan ia terus menjadi tanda tanya adakah buaya yang sebegitu besar ada wujud di Sungai Seblak atau sebaliknya.
Sekitar jam 4 petang semalam, buaya terbabit dibawa semula ke Rumah Embol di Sungai Anak oleh pihak SFC untuk dibedah isi perutnya bagi pengumpulan data sebelum ia dikuburkan - Utusan Borneo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan