Ahad, 22 Julai 2012

Didie Alias - Saya Laris Sejak Berpakaian Pelik

Lady Didie’s Fanclub , Kelab Peminat Didie Alias


Fadzilah Mohammed Ali, 39, atau lebih dikenali dengan Didie Alias tidak pernah marah atau kesal apabila diberi jolokan sebagai Lady Gaga Malaysia.

Bagi Didie, jolokan itu telah membuatkan dia lebih dikenali dan menerima banyak jemputan untuk mengacarakan majlis ataupun berlakon.

Isteri kepada Norisham Ismail, 36, dan ibu kepada Dania, 19, Danial, 18, Danie, 14, dan Diana, 13, berpendapat, rezekinya semakin bertambah setelah berimej sebegitu dan tidak pernah menyesal apabila dilabelkan keterlaluan kerana hanya yang berani sahaja boleh menyarungkan pakaian sedemikian.

Didie juga telah mengejutkan peminat seni apabila memakai skirt singkat ketika hadir di majlis pertunjukan fesyen Malaysia International Fashion Alliance (MIFA 2010) dan pernah menerima kritikan apabila berpakaian pelik di sebuah majlis Anugerah Bintang Popular tahun lalu.

Dia yang ditemui ketika mengacarakan majlis memperkenalkan koleksi terbaharu barangan kemas syarikat terkemuka negara menjelaskan mengenai imej pelik yang sering dibawanya itu.

Adakah Didie masih mengenakan pakaian pelik sekarang, atau mengurangkan imej tersebut?

DIDIE: Sudah tentu masih pakai, cuma saya memakainya mengikut kesesuaian majlis. Kalau majlis hari raya mana boleh pakai imej Lady Gaga pula. Jujurnya, saya masih selesa dengan pakaian pelik kerana nama Didie Alias dikenali semula selepas saya berpakaian sebegitu.

Kenapa pilih pakaian pelik, adakah ada pereka fesyen yang paksa atau kerelaan sendiri?

DIDIE: Tidak pernah ada pihak yang paksa pakai, sebenarnya memang saya yang hendak pakai pakaian pelik sebegitu, rezeki saya makin melimpah selepas dikenali dengan berpakaian pelik, jadi saya tidak kisah dilabelkan apa sekalipun.

Tidak takut dikritik lagi dengan berpakaian ala-ala Lady Gaga selepas ini?

DIDIE: Saya tidak kisah, apa pakaian yang orang lain takut nak pakai, Didie Alias berani pakai. Saya memang suka pakai apa yang orang lain tidak pakai. Kalau nak tengok saya pakai pelik, tunggu nanti bila ada majlis-majlis lain.

Adakah anda merasakan diri masih laris walaupun hampir berusia 40-an?

DIDIE: Alhamdulillah, diri saya ni macam artis di Hollywood, makin berusia makin laris, selepas dikenali dengan berpakaian pelik, nama saya lebih dikenali sampai rezeki melimpah ruah. Saya banyak mendapat tawaran berlakon dengan imej seperti itu, syukur.

Anak anda cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah sehingga dapat 8A, apakah petua anda walaupun sibuk sebagai artis?

DIDIE: Saya jenis orang yang akan ada masa untuk diluangkan jika ia berkaitan dengan soal pelajaran anak-anak. Kalau cikgu panggil untuk mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru, saya mesti datang, kalau cikgu panggil ke sekolah untuk mesyuarat berkenaan prestasi anak, saya mesti hadir, itu keutamaan saya. Jadi secara tak langsung, walaupun saya sibuk, saya tetap ambil berat hal pelajaran anak-anak dan memberi keutamaan kepada mereka.

Apa perkembangan terbaharu anda?

DIDIE: Sempena kedatangan bulan Ramadan ini, saya banyak menerima jemputan untuk mengacarakan majlis dan menghadiri majlis-majlis berbuka puasa. Pada masa yang sama, saya juga akan muncul dengan telemovie terbaharu untuk Hari Raya Aidilfitri iaitu Pontianak Kampung Batu 2 1/2 bersama Erra Fazira dan Yasmin Hani.












Tiada ulasan:

Catat Ulasan