Sabtu, 14 Julai 2012

Insiden Tembak, Seorang Mangsa Meninggal Dunia

KUCHING: Seorang daripada mangsa kejadian tembak di sebuah kedai kopi di Green Height, Jalan Lapangan Terbang di sini Khamis lepas disahkan meninggal dunia semalam.

Mangsa yang berusia 31 tahun itu disahkan meninggal dunia sekitar jam 9 pagi semalam akibat kecederaan serius pada bahagian kepala selepas terkena tembakan dalam insiden yang berlaku sekitar jam 11 pagi itu.

Semasa kejadian tersebut, mangsa dikatakan bersarapan bersama tiga lagi rakannya sebelum terkena tembakan pada bahagian kiri kepalanya oleh suspek disyaki menggunakan senapang patah yang dipercayai berada kira-kira 18 meter daripada mangsa.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi sebelum disahkan meninggal dunia pagi semalam.

Sementara itu, seorang lagi lelaki berusia 69 tahun yang turut terkena serpihan peluru dalam kejadian tersebut dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Roslan Bek Ahmad mengesahkan kejadian tersebut serta menasihatkan orang ramai agar tidak panik dan membuat sebarang spekulasi berhubung insiden tersebut.

Menurut beliau juga, sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan insiden tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Angela Ladi menerusi talian 013-8072900 atau mana-mana balai polis berhampiran.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan