Isnin, 23 Julai 2012

Malas Nak Bergaduh Dengan Orang

Lufya Omar

Zarina Anjoulie Lavocah

“Malas nak bergaduh dengan orang sebab isu remeh,” kata Zarina Anjolie Lavocah. Itu adalah antara kata-kata yang diluahkan oleh Zarina ketika mengulas isu gaduh dengan Lufya yang dipetik dari sisipan Gebang Syed dalam akhbar Pancaindera hari ini.

Bagi Zarina, dia tidak pernah mencari gaduh atau persengketaan dengan seorang pelakon dan penyanyi wanita, Lufya. Zarina juga mengatakan dia tidak pernah membuka cerita tentang diri Lufya kepada umum.

“Saya tidak pernah cari pasal pun dengan dia. Dia yang mulakan dan dia juga yang banyak bercakap tentang saya. Jadi untuk apa saya berhubungan dengan dia kalau akhirnya orang akan anggap saya yang salah,” kata Zarina.

Pelakon yang sering dihimpit kontroversi itu mengakui sebelum ini, dia dan Lufya sememangnya berkawan. Namun, kerana ‘cerita’ yang pernah dibangkitkan oleh Lufya tentang dirinya membuatkan Zarina berfikir untuk apa dia berbaik dengan Lufya lagi.

Malah, Zarina juga mempersoal tindakan Lufya yang mencipta lagu khas untuk dirinya. Dan kerana itulah, Zarina enggan melayan isu remeh ‘gelombang peperangan’ antara dia dan Lufya.

“Memang kami berkawan. Dia pun dah minta maaf atas apa yang berlaku tapi yang menjadi masalahnya kenapa dia perlu buat lagu untuk saya? Sibuk-sibuk nak menyanyi sebagai tanda minta maaf.

“Itu bukan nak minta maaf tapi nak buat provokasi pada saya. Jadi lantak dialah. Saya tak peduli apa yang nak jadi sebab fokus saya nak cari duit dan terlibat dengan bisnes,” katanya.

Beberapa bulan lepas, pergaduhan besar antara Zarina dan Lufya tercetus kerana kenyataan Lufya dikeluarkan di sebuah laman sosial gosip hiburan.

Kata Lufya, dia menerima pandangan negatif dari sesetengah pihak berikutan mereka menganggap Lufya adalah Zarina. Ekoran dari kenyataan Lufya itu, Zarina telah melancarkan perang gaduh dengan wanita itu.

Cuma, mereka tidak pernah bergaduh secara bersua muka. Sebaliknya, hanya menggunakan medium tengah seperti laman sosial dan media untuk berbalas kenyataan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan