Khamis, 12 Julai 2012

Maut Selepas Dua Bulan Koma


KOTA BHARU – Nasrur Alimin Mohamad, 34, yang ditembak dua lelaki berpakaian serba hitam di Taman Sentosa Jaya, Badang dekat sini dua bulan lalu meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian malam kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, mangsa meninggal dunia pada pukul 10.45 malam selepas tidak sedarkan diri selama dua bulan.

Menurut beliau, dalam kejadian pada 3 Mei lalu, Nasrur ditemui cedera parah akibat terkena beberapa das tembakan di betis kanan dan ditetak di kepala serta pergelangan tangan kanan selepas keluar dari kedai runcit yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya.

Mangsa yang bekerja sebagai pembekal peralatan makmal di hospital di sini singgah di kedai runcit tersebut untuk membeli kad tambah nilai prabayar dan gula-gula.

Bagaimanapun, Mazlan memberitahu, belum ada tangkapan dibuat berhubung kejadian tersebut.

“Polis sedang menjejaki suspek yang sudah dikenal pasti terlibat dalam kejadian menembak Nasrur,” kata beliau.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan