Nelayan kembali dari laut selepas jam 11 pagi terpaksa mengerah kudrat menarik perahu
MIRI: Masalah muara sungai yang kian cetek berlaku di kuala Sungai Bakam dekat sini, jika tidak di selesaikan boleh menjejaskan mata pencarian atau sumber rezeki kira-kira 500 orang nelayan yang tinggal di perkampungan nelayan di kawasan tersebut.
Keadaan amat sukar buat para nelayan terbabit kerana tidak dapat keluar menangkap ikan ketika air surut disebabkan bot tidak dapat melepasi beting pasir di muara sungai itu.
Beting pasir yang tinggi di muara sungai itu semasa air surut menyebabkan kedalaman muara sungai hanya mencecah paras 0.3 meter sahaja, yang pastinya menyukarkan perahu ditarik ke laut.
Justeru, semua bot nelayan yang menggunakan kuala sungai itu untuk ke laut tidak dapat keluar menangkap ikan ketika keadaan air surut berlaku.
Seorang nelayan Bakam, Ismail Junaidi, 55, berkata masalah kecetekan muara Sungai Bakam sudah berlarutan sejak sekian lama.
Malah katanya, ketika ini masalah itu bertambah serius kerana kedalaman muara sungai berkenaan amat cetek pada waktu air surut, menyebabkan tiada satu pun bot mereka dapat melepasi beting pasir tersebut.
“Situasi ini, menyebabkan nelayan tidak dapat keluar menangkap ikan kecuali pada waktu air pasang. Sekali gus masalah berkenaan menjejaskan pendapatan nelayan Bakam,” katanya.
Beliau berkata, nelayan di kawasan itu pernah beberapa kali menyuarakan masalah berkenaan kepada pihak yang berkaitan di situ.
Namun hampa kerana sehingga kini, katanya belum ada sebarang penyelesaian diambil untuk mendalamkan semula muara sungai yang cetek itu.
Justeru, Ismail mahu pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan sewajarnya untuk mengatasi masalah berkenaan supaya pendapatan harian nelayan di situ tidak terjejas.
Menurut seorang lagi nelayan, Mahadi Marikan, 55, dalam tempoh sebulan sekurang-kurangnya seminggu nelayan di situ tidak dapat turun ke laut akibat muara cetek.
“Kami minta kerajaan korek dan mendalamkan semula muara sungai berkenaan supaya bot nelayan dapat keluar ke laut tanpa mengira waktu,” katanya.
Difahamkan ketika air surut pada petang selama beberapa hari yang kadangkala mencecahkan seminggu lamanya, mereka tidak dapat turun ke laut untuk menangkap ikan kerana muara cetek.
Sebaliknya mereka terpaksa keluar waktu awal pagi iaitu jam 4 pagi bagi mengelak terkandas di kawasan beting pasir di muara sungai berkenaan.
Bagaimanapun sejak seminggu lepas dan hingga semalam, air surut berlaku pada sebelah pagi iaitu menjelang jam 10 pagi atau 10.30 pagi dan air akan pasang semula mulai jam 3 atau 4 petang.
Keadaan ini menyebabkan nelayan yang turun ke laut pada jam 4 pagi ketika air pasang terpaksa pulang sebelum jam 11 pagi bagi mengelak berdepan kesukaran untuk masuk ke kuala sungai yang cetek ketika air surut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan