JOHOR BAHRU - Seorang ibu hanya mampu meraung-raung apabila mendengar panggilan 'mak' daripada anak bongsunya yang minta diselamatkan ketika terperangkap dalam kebakaran di rumah mereka di Jalan Permas 2/2, Permas Jaya di sini semalam.
Nadia Abd. Samad, 25, tidak mampu berbuat apa-apa kerana api marak dengan cepat memusnahkan rumahnya yang baru sehari didiami.
Pada saat ketibaan bomba dan penyelamat sampai, panggilan 'mak' daripada Mohd. Aminuddin Mohd. Nor, 2, sudah senyap. Kanak-kanak itu kemudian ditemui rentung di atas katil di bilik tidur.
Mohd. Aminuddin yang patah tangan kiri akibat terjatuh seminggu lalu sepatutnya menyambut ulang tahun kelahirannya yang kedua pada 19 Julai ini.
Nadia dan keluarganya baru berpindah ke rumah tersebut pada pukul 9 malam kelmarin. Rumah tersebut merupakan rumah keluarga malang itu tetapi sebelum ini rumah tersebut disewakan.
Nadia dan keluarganya tinggal menyewa di Stulang Baru kira-kira 10 kilometer dari Permas Jaya.
Cerita ibu muda itu, ketika kejadian pada pukul 9.15 pagi, Mohd. Aminuddin sedang tidur seorang diri di sebuah bilik di tingkat atas manakala dia serta dua lagi anaknya, Muhammad Amirul Hakim, 6, dan Nur Aisyah Nadirah, 4, berada di tingkat bawah.
"Selepas memandikan Muhammad Amirul dan Nur Aisyah, saya lihat Mohd. Aminuddin masih tidur jadi saya pula yang mandi. Selesai mandi tiba-tiba saya terdengar Mohd. Aminuddin menangis dengan memanggil 'mak'.
"Saya kemudian nampak asap dari tingkat atas tetapi saya tidak boleh naik ke tingkat atas kerana asap tebal. Saya tidak mampu berbuat apa-apa kecuali mendengar Mohd. Aminuddin memanggil saya," katanya - Kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan