Khamis, 26 Julai 2012

Sindiket Judi Masih Tak Serik

Anggota polis memeriksa komputer yang dirampas

KOTA BHARU - Satu sindiket perjudian di negeri ini didapati langsung tidak gentar terhadap pihak berkuasa apabila terus menjalankan kegiatan haram tersebut meskipun dua premis milik mereka pernah digempur polis bulan lalu.

Jika sebelum ini, polis merampas 22 buah komputer dipasang dengan perisian judi bernilai RM50,000 di dua premis di kawasan Jalan Kebun Sultan dan Wakaf Che Yeh, di sini, kelmarin pula polis menggempur sebuah lot kedai dua tingkat di Jalan Tok Kenali, Kubang Kerian pada pukul 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman (gambar kecil) berkata, serbuan hasil maklumat orang ramai itu dapat merampas 11 buah komputer yang dilengkapi cip perjudian dengan nilai keseluruhan RM50,000. Bagaimanapun katanya, dalam serbuan itu, pihaknya tidak membuat sebarang tangkapan.

"Sindiket ini masih tidak serik-serik walaupun kita telah menggempur dua premis mereka bulan lalu. Kita sedang mengesan pemilik premis di Kubang Kerian itu untuk mendapatkan maklumat penyewa yang menjalankan kegiatan perjudian itu," katanya.

Tambahnya, polis percaya ketiga-tiga premis itu melibatkan sindiket sama berdasarkan persamaan model komputer, cip perjudian dan beberapa peralatan yang dirampas sebelum ini. Mereka telah bergiat sejak tiga bulan lalu.

Katanya, antara jenis permainan perjudian yang popular di premis perjudian tersebut ialah Roulette dan Black Jack.

"Pusat ini terbuka kepada semua dan sesiapa sahaja boleh memasuki premis ini.

"Premis ini khusus untuk mereka yang berjudi bukan seperti kebiasaan di mana sindiket berselindung di sebalik perniagaan kafe siber," ujarnya.

Jelasnya, mereka yang ingin bermain perlu membayar sejumlah wang di kaunter sebelum wang tersebut akan dikreditkan ke mesin berkenaan.

Menurut Azham, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 dan lima tahun penjara.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan