Khamis, 19 Julai 2012

Stacy Semakin Lincah Beraksi




Kelincahannya beraksi di pentas sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Badannya yang kecil molek membuatkan tubuhnya ringan mengikut gerak tari yang ditetapkan. Anak kelahiran sabah ini ternyata pandai menggapai segala peluang yang terbuka buatnya. Bermula dengan rancangan realiti televisyen, Stacy kini gagah berdiri dengan namanya sendiri.

Bercerita tentang perkembangan kariernya, kata Stacy dia sedang dalam proses menerbitkan single terbaru. Lagu yang ditulis oleh Taja berjudul “Pelangi Senja” itu menceritakan tentang permintaan terakhir seseorang. Ia merupakan sebuah lagu pengajaran tentang bagaimana menghargai seseorang ketika dia ada dan bukannya hanya mengingati ketika dia tiada.

Kata Stacy, lagu itu bukan hanya untuk pasangan bercinta sahaja tetapi ia bersifat universal. Ini merupakan lagu Stacy dengan not yang tinggi. Sempat ditanya, adakah lagu itu mempunyai kaitan dengan hidupnya kini, Stacy pantas menyangkal.

Ujar Stacy lagi, dia masih belum pernah berada dalam keadaan sebegitu dan berharap tidak akan berpeluang merasai situasi tersebut kerana itu akan membuatkannya menyesal. Klip video lagu ini bakal dijalankan di Sabah, ekoran daripada Stacy yang ingin pulang ke kampung halamannya.

Selain single terbarunya itu, Stacy juga mempunyai lagu duet lain yang bakal diterbitkan. Lagu yang masih belum mempunyai tajuk itu merupakan lagu hasil duetnya bersama Ahmad Dhani. Walaupun telah direkodkan pada bulan Mac lepas, namun ia belum dapat diterbitkan atas sebab-sebab tertentu.

Menurut Stacy, ia merupakan projek daripada pihak Astro dan lagu itu berirama jazz. Selain Ahmad Dhani, Stacy turut berkolaborasi dengan Akim menyanyikan lagu duet bersama. Bercakap tentang imej yang dibawanya kini, Stacy banyak memakai baju yang bersifat keperempuanan. Di awal kemunculannya, Stacy melangkah ke dunia hiburan dengan membawakan imej sempoi dan ceria.

Hari berganti hari dan tahun berganti tahun, Stacy kini tampil dengan imej yang lebih feminin. Sekarang Stacy banyak membawakan lagu berentak pop balet dan itu membuatkan dia lebih banyak memakai pakaian berkonsepkan feminin. Tambahnya lagi, dia tidak kisah akan penampilannya kerana dia akan lebih cenderung memakai apa yang selesa buatnya.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan