Jumaat, 13 Julai 2012

Suami Isteri Bawa Anak Curi Kereta

SEREMBAN – Modus operandi pasangan suami isteri mencuri kereta bagai menaiki kereta sendiri kerana membawa seorang anak kecil semasa melakukan jenayah itu terbongkar apabila si suami ditahan bersama seorang lagi rakannya pada hujung bulan lalu.

Tangkapan ke atas kedua-dua suspek itu membawa kepada penemuan 11 buah kereta jenis Perodua Kancil dan sebuah kereta Honda Stream yang dicuri di sekitar negeri ini, Selangor dan Melaka.

Turut ditemui bersama kedua-dua suspek itu ialah lima buah komputer riba, satu rangka motosikal Yamaha RX-Z berserta rim tayar.

Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, kedua-dua suspek berusia 31 tahun dan 20-an ditahan di Kajang, Selangor dan Melaka.

“Suspek berusia 31 tahun iaitu suami kepada wanita terbabit ditahan di Selangor pada 26 Jun lalu manakala rakannya dipercayai pekerja sebuah bengkel ditahan pada 27 Jun di Melaka,” kata beliau pada sidang sidang akhbar di sini.

Menurut beliau, kedua-dua suspek itu mempunyai rekod jenayah terlibat mencuri enam buah kereta di negeri ini, Selangor (4) dan Melaka (2).

“Modus operandi suspek pertama ialah membawa isteri dan anak kecilnya menaiki mana-mana kereta yang baru dicuri seolah-olah mereka sekeluarga menaiki kereta sendiri,” kata beliau - Kosmo


Tiada ulasan:

Catat Ulasan