Selasa, 10 Julai 2012

Wujudkan Tempat Perlindungan Buaya

KUCHING: Jabatan Perhilitan perlu segera mewujudkan satu dasar bagi mengatasi masalah serangan buaya di negeri ini.

Perkara itu ditegaskan Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Rohani Abdul Karim yang menyarankan agar satu tempat perlindungan khas bagi haiwan itu diwujudkan bagi memastikan populasi spesies berkenaan tidak mengancam keselamatan manusia.

“Ini di bawah bidang kuasa Jabatan Perhilitan kerana buaya adalah spesies dilindungi daripada apa-apa aktiviti, sama ada nak buru atau bunuh memerlukan permit daripada jabatan.

“Kemungkinan apa yang boleh dilakukan ialah buaya ini ditempatkan di satu tempat perlindungan khas dan perlu dijaga sepenuhnya bagi mengatasi masalah keganasan buaya yang berlaku di negeri ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai adakah musim memburu dan membunuh buaya akan dilakukan bagi mengurangkan populasi haiwan berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat daripada jawatankuasa Program ‘Night with P195 and P196 Friends’ di pejabat KPDNKK Negeri Sarawak semalam.

Rohani menegaskan, Jabatan Perhilitan juga perlu bertindak melakukan sesuatu kerana buaya ketika ini sedang mengganas bagi meneruskan kelangsungan hidupnya.

“Jabatan dan kementerian berkenaan perlu memikirkan jalan terbaik untuk itu kerana tempat mereka (buaya) sudah banyak diceroboh… sungai tidak selamat lagi bagi mereka, sebab itu ada buaya yang berpindah ke muara,” katanya.

Tambahnya, Pulau Seduku merupakan kawasan strategik untuk dijadikan pusat perlindungan haiwan itu yang mampu menjadi tempat tarikan pelancong.

“Di Pulau Seduku, kami telah memindahkan penduduk ke tempat lain iaitu di kawasan Agropolitan dan saya cadangkan agar pulau itu dijadikan tempah perlindungan buaya…ia boleh menjadi kawasan tarikan pelancong yang ingin melihat haiwan itu tetapi ia memerlukan perancangan terperincilah,” ujarnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan