Sabtu, 3 November 2012

Anwar Janji Lebih Kerap Datang Jika Takluk Putrajaya

 Anwar menyampaikan ucapannya di Rumah Udam di Nanga Lipus, petang semalam

KANOWIT: Ketua Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menaruh harapan dan berjanji untuk datang kembali ‘minum kopi’ bersama masyarakat di sini jika PR menakluki Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

“Saya akan datang ke sini lebih kerap lagi jika PR menakluki Putrajaya kelak, walaupun hanya singgah lima minit untuk minum kopi di sini,” ujarnya berseloroh.

Beliau berkata demikian ketika mengunjungi pekan ini buat kali ketiga, pagi semalam. Anwar pernah melawat pekan ini semasa perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Gawai Dayak tahun ini.

Ketibaan beliau disambut oleh kira-kira 100 orang yang diketuai oleh Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cawangan Lanang George Chen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian Ali Biju dan ADUN Pelawan David Wong.

Anwar juga sempat meluangkan sedikit masa dengan orang awam untuk menikmati minuman teh di sebuah kedai kopi di sini. Beliau turut menyeru orang ramai untuk memberi sokongan kepada partinya pada PRU13.

Misi PR, katanya, bukan sahaja untuk mengubah Sarawak tetapi juga seluruh negara ke arah yang lebih baik.

“Jika kita mampu tawan Putrajaya, saya berjanji untuk menurunkan harga minyak dalam masa 24 jam dan saya tidak berbohong,” katanya sambil meramalkan pertarungan sengit pada PRU13 nanti.

Anwar berkata, tujuan beliau ke sini bukan sekadar untuk bermain politik, tetapi memperjuangkan hak semua rakyat Malaysia.

Sementara itu, Ali Biju memberitahu PR adalah pakatan untuk semua rakyat Malaysia dan bukan hanya untuk orang Semenanjung Malaysia.

Selepas menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di sini, Anwar mengunjung Rumah Udam di Nanga Lipus sebelum bertolak ke Kabong pada sebelah petang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan