500 ekor kucing yang dipintas pihak polis di bandar Xuzhou
XUZHOU - Polis di bandar ini, dalam wilayah Jiangsu, di timur China menghalang sebuah lori yang membawa 500 ekor kucing untuk dijadikan hidangan eksotik di restoran-restoran tempatan, lapor akhbar Telegraph semalam.
Polis mengarahkan lori terlibat supaya berhenti apabila menyedari kenderaan tersebut memiliki nombor plat luar wilayah.
Mereka kemudian menyoal pemandu lori tentang haiwan yang dibawa selepas terdengar bunyi mengiau dari bawah plastik penutup kargo tersebut.
"Arnab," jawab pemandu tersebut.
Namun, kenderaan itu sebenarnya membawa beratus-ratus ekor kucing yang diletakkan di dalam puluhan sangkar besi.
Sejak beberapa tahun lalu, permintaan daging kucing di selatan China meningkat dengan bekalan haiwan itu diperoleh dari seluruh China.
Daging kucing akan dicampurkan bersama daging ular untuk dimasak sejenis hidangan tempatan istimewa yang digemari penduduk tempatan.
Undang-undang China tidak melarang rakyatnya menjual kucing kerana haiwan itu tidak dianggap sebagai harta benda milik keluarga.
Pencuri kucing biasanya memperoleh bayaran 10 yuan (RM4.90) untuk seekor kucing yang dijual kepada orang tengah.
Berikutan pemandu lori berkenaan tidak melakukan sebarang kesalahan, pihak polis membeli kargo tersebut pada harga 3,500 yuan (RM1,723) selepas berunding selama tiga jam dengan pemandu terlibat. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan