Najib melambai tangan kepada tetamu semasa hadir pada majlis rumah terbuka Deepavali
KUALA LUMPUR - Deepavali disambut di seluruh negara semalam dalam suasana penuh meriah dengan warga Malaysia beragama Hindu mengadakan upacara keagamaan di kuil-kuil dan menerima kunjungan anggota keluarga serta sahabat handai di rumah mereka.
Sambutan di kompleks kuil di Batu Caves di sini adalah antara acara kemuncak dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyertai lebih 10,000 rakyat pelbagai kaum dan latar belakang pada majlis rumah terbuka anjuran MIC.
Orang ramai mula berkumpul di pekarangan kompleks itu seawal pukul 8 pagi dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan vegetarian India. Rumah terbuka itu diadakan dari pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari.
Majlis tersebut dimeriahkan dengan paluan gendang dan seruling India serta cuaca pagi yang nyaman, ketibaan Najib yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional pada pukul 10.30 pagi disambut Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel serta timbalannya, Datuk Seri S. Subramaniam.
Turut hadir Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim, Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S. Samy Vellu serta Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan