Selasa, 13 November 2012

Denda Buang Puntung Rokok


SIBU: Pemandu yang membuang puntung rokok sewenang-wenangnya di kawasan lampu isyarat akan didenda.

Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Daniel Ngieng berkata tindakan sedemikian adalah satu kesalahan.

Ini kerana, katanya, boleh mengakibatkan ribuan puntung rokok bertimbun di kawasan lampu isyarat dan menjejaskan imej bandar Sibu secara keseluruhan.

“Amalan ini boleh kita perhatikan setiap kali berhenti di kawasan lampu isyarat di mana pemandu yang merokok membuang puntung rokok mereka sewenang-wenangnya.

“Keadaan itu sering mendapat keluhan para petugas MPS yang melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan lampu isyarat terutamanya di pusat bandar,” katanya di sini semalam.

Lantaran itu, pihak MPS mengambil langkah drastik dengan mengenakan tindakan denda terhadap mereka yang didapati melakukan perbuatan itu.

Selain itu, tindakan itu adalah sebahagian daripada langkah MPS untuk mewujudkan persekitaran bersih di bandar Sibu.

Beliau berkata, sebagai penduduk amat penting bagi semua pihak menjaga kebersihan serta memberi teladan yang sihat kepada pengunjung dari luar.

Bercakap mengenai denda yang dikena oleh MPS terhadap pesalah membuang sampah merata-rata tempat, Ngieng memberitahu jumlah kutip denda tahun ini meningkat.

Statistik dari pejabat pentadbiran majlis itu menunjukkan sejumlah 2,598 pesalah telah didenda sehingga September tahun ini berbanding 1,758 tahun lalu.

Pada 2007, seramai 559 pesalah telah didenda manakala pada 2008 (523), 2009 (408) dan 2010 (169).

Ngieng berkata, sekali pesalah yang membuang puntung rokok di kawasan tempat awam akan dikenakan denda RM10 serta-merta.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan