Ruang tamu kediaman mangsa yang hangus dalam kejadian itu
KOTA KINABALU: Dua beradik nyaris mati rentung setelah kediaman yang dihuni berhampiran Grace Court, Sembulan di sini terbakar dalam satu kejadian awal pagi kelmarin.
Mangsa merupakan lelaki tempatan dikenali sebagai Mu Khoon Foo, 53, sementara adiknya Mu Kwang Hoe, 45, difahamkan tercedera dan melecur separuh badan sempat menyelamatkan diri daripada kejadian berkenaan.
Dipercayai, turut berlaku beberapa siri letupan dalam insiden berlaku sekitar jam 5 pagi itu dan impak kebakaran terbabit juga telah menyebabkan lima kenderaan yang diletakkan berhampiran lokasi berkenaan rosak akibat terkena hempapan jeriji rumah.
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan.
Menurut beliau, kejadian di Tingkat 1 Blok A Grace Court itu difahamkan membabitkan sebuah rumah yang disewa oleh kedua-dua mangsa yang secara tiba-tiba terbakar pada pagi itu.
“Kedua-dua mangsa kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan dilaporkan dalam keadaan stabil, kita turut difahamkan mangsa yang berusia 45 tahun itu telah melecur separuh badan akibat kebakaran itu.
“Mengenai letupan ketika kebakaran itu, polis masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya sambil meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tampil menghulurkan maklumat di balai polis terdekat bagi membantu siasatan.
Kenderaan terjejas teruk ekoran dihempap jeriji impak daripada kebakaran itu
Sementara itu, tiga jentera dengan kekuatan 21 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Sembulan telah digegaskan ke lokasi kejadian bagi operasi memadamkan api.
Pegawai Pehubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, Affendy K Ramin berkata pihaknya telah menerima panggilan pada jam 5.23 pagi mengenai kejadian kebakaran itu.
“Operasi tamat sekitar jam 6.25 pagi dan kita mengesahkan terdapat dua mangsa telah tercedera dalam insiden ini.
“Bagiamanapun, mangsa yang melecur berjaya diselamatkan oleh abangnya dan digegaskan ke hopsital berdekatan bagi menerima rawatan lanjut.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan