Khamis, 8 November 2012

Dua Inspektor Ditahan Reman

Pegawai polis disyaki terlibat diiringi beberapa anggota polis ke dalam kereta

KUCHING: Dua pegawai polis berpangkat Inspektor ditahan reman selama tiga hari bermula semalam kerana disyaki menyebabkan kecederaan kritikal ke atas seorang suspek yang berada dalam tahanan polis.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani memberitahu, pihaknya juga sedang mendapatkan kenyataan daripada pasukan polis yang terlibat dalam tangkapan ke rumah suspek di Petra Jaya sekitar jam 4 petang, Ahad lepas bagi membantu siasatan.

Suspek yang dikatakan tid­ak sihat ketika dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuch­ing, menurut Acryl, dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan pemeriksaan mendapati suspek mengalami pendarahan otak dan terpaksa menjalani pembedahan pada 6.30 petang kelmarin.

“Saya mengarahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak mengenal pasti pun­ca suspek cedera serius yang tidak sepatutnya berlaku.

“Kita mahu tahu bagaimana (keadaan) suspek yang tidak serius (ketika ditangkap) menjadi serius dan kita khuatir ada perkara tidak sepatutnya berlaku, tetapi kita sedang kenal pasti siapa bertang­gungjawab serta bagaimana ia berlaku,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ro­slan Bek Ahmad dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Datuk Zulkifli Hassan.

Acryl berkata, dua pegawai polis berusia 30 dan 32 tahun ditahan sekitar 6 petang kel­marin bagi membantu siasatan ke atas punca kecederaan sus­pek, yang mana setakat berita ini ditulis petang semalam, dalam keadaan kritikal.

Beliau menegaskan, pihakn­ya tidak akan menyembun­yikan perkara itu daripada pengetahuan awam serta tidak akan berkompromi sekiranya benar dua pegawai terbabit bertindak di luar batasan.

“Kita akan bersikap telus dalam siasatan ini supaya tidak timbul spekulasi,” jelasnya.

Beliau turut menekankan tindakan diambil lebih awal sebelum bapa saudara suspek, 54, membuat laporan polis malam kelmarin berhubung kecederaan anak buahnya.

Sementara itu, suspek berusia 29 tahun diberkas di rumahnya di Petra Jaya pada kira-kira jam 4 petang, Ahad lepas kerana dipercayai melarikan dompet salah se­orang Inspektor terbabit yang cuba meleraikan pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Padungan, Khamis lalu.

Pegawai polis berkenaan mengalami kerugian kira-kira RM6,000 apabila dompetnya dilarikan serta wang dalam akaun banknya dikeluarkan menerusi mesin ATM.

Turut difahamkan, kedua-dua Inspektor tersebut yang cuba meleraikan pergaduhan, dicederakan menggunakan senjata tajam.

Suspek yang ditangkap di rumahnya bersama seorang lagi remaja 18 tahun juga dikatakan bertindak agresif ketika cuba ditangkap.

Kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan