Sabtu, 10 November 2012

Dua Militan Indonesia Ditahan

bom03
Serangan bom di Hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton di Jakarta pada 2009

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama polis Indonesia menahan dua suspek warga Indonesia Rabu lepas, yang dipercayai terbabit dalam serangan bom di Hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton di Jakarta, Indonesia pada 2009.

Kedua-dua suspek itu, Taufik Balaga atau dikenali dengan nama Upik Lawanga dan Ahmad Fauzi masing-masing berusia 40-an, yang menjadi anggota militan Jemaah Islamiah (JI) ditahan semasa cuba merentas sempadan Malaysia-Kalimantan di Nunukan, Kalimantan Timur.

Mengikut sumber polis Bukit Aman, kejayaan itu adalah hasil perkongsian maklumat risikan antara PDRM dan polis Indonesia.

"Mereka disyaki sering berulang-alik dari Tawau ke Nunukan (Kalimantan Timur) sebelum ini," kata sumber itu di sini.

Jelas sumber itu lagi, kedua-dua suspek terbabit dihantar ke Jakarta pada hari yang sama selepas proses soal siasat.

Kedua-duanya dipercayai terlibat dalam kejadian dua serangan pengebom berani mati pada 17 Julai 2009 di kedua-dua hotel berkenaan yang mengorbankan sembilan orang dan mencederakan 53 yang lain.

Serangan itu turut dikaitkan dengan kumpulan JI yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda.

Upik sebelum ini turut dikaitkan dengan insiden memenggal kepala tiga pelajar di Poso, Sulawesi Tengah pada 2005.

Tambah sumber itu, Upik dipercayai terbabit dengan kumpulan JI dan mempunyai kepakaran menghasilkan bom buatan sendiri.

Upik dan Ahmad Fauzi kini disiasat oleh polis Indonesia dan dipercayai mempunyai seorang lagi rakan warga Malaysia yang turut disiasat. - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan