Sabtu, 10 November 2012

Dua Jemaah Haji Sarawak Meninggal Dunia Di Mekah


KUCHING: Dua daripada 650 jemaah haji dari Sarawak meninggal dunia di Tanah Suci Mekah sewaktu menunaikan rukun Islam kelima itu pada tahun ini. Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman memberitahu, dua jemaah itu terdiri daripada seorang jemaah haji wanita dari Niah, Miri dan seorang lagi jemaah lelaki dari Lundu.

“Berdasarkan laporan yang kita terima, dari Sarawak dua jemaah meninggal iaitu seorang jemaah lelaki dari lundu dan seorang jemaah wanita dari Niah, Miri.

“Mereka (jemaah haji) yang lain sihat belaka dan keseluruhan jemaah haji dari Sarawak adalah seramai 650 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyambut 11 jemaah haji dari Sarawak di bawah program haji 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Tun Razak di kediamannya di sini, semalam.

Pada masa sama, Daud memberitahu untuk kumpulan pertama, jemaah haji dari Sawarak dijangka akan tiba di tanah air pada 14 November ini, jam 9.30 pagi.

“Manakala jemaah haji bagi kumpulan kedua pula pada dijangka tiba pada 22 November ini,” katanya sambil menambah 650 jemaah haji itu tidak termasuk 11 orang haji di bawah program haji 1MDB.

Menyentuh mengenai program haji 1MDB yang terdiri dalam kalangan imam, ketua kampung serta pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) melibatkan 400 jemaah haji secara keseluruhan, Daud berharap lebih banyak kouta jemaah dari Sarawak akan diberikan.

“Pada tahun ini, kita bersyukur kerana 11 orang dari Sarawak diberi peluang untuk menunaikan haji di bawah program ini dan bagi kerajaan negeri Sarawak, kita mengucap jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana inilah julung kali Sarawak diberi peluang,” katanya.

Jemaah haji di bawah program haji 1MDB yang dipilih untuk menunaikan ibadah haji selamat tiba di tanah air petang kelmarin sebelum dijemput untuk meraikan kejayaan mereka di kediaman Daud di sini.

“Pada tahun hadapan, mungkin boleh dipertimbangkan lebih sedikit kouta bagi memberi peluang agar lebih ramai jemaah di Sarawak dapat pergi menunaikan haji,” ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Antek dari Kampung Binyu, Samarahan dan Seruji Udin dari Sri Aman, antara 11 jemaah haji yang dipilih di bawah program haji 1MDB turut mengucapkan terima kasih kepada PM atas keprihatinan beliau.

“Hanya Tuhan sahaja mampu membalas jasa baik yang diberikan PM dan kita berharap kepimpinan seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan,” kata mereka.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan