Gambar Hiasan
SIBU: Seorang lelaki berumur dalam lingkungan 60-an digertak sekumpulan konco-konco ah long di rumahnya di Kampung Hilir di sini pagi semalam selepas dikatakan gagal membayar hutangnya.
Dalam kejadian sekitar jam 9 pagi itu, lelaki tersebut bersama seorang anak perempuannya berumur 28 tahun didatangi lima lelaki menaiki dua buah kereta dipercayai cuba menuntut hutang.
Menurut maklumat, lelaki tersebut bertindak menutup pintu dan tingkap rumahnya dan cuba menyembunyikan diri di ruang tamu apabila konco-konco ah long terbabit memanggilnya keluar dari rumah.
Namun, lelaki tersebut enggan menjawab dan mendiamkan diri di dalam rumah kerana takut diapa-apakan oleh kumpulan lelaki berkenaan.
Setelah memanggil beberapa kali, salah seorang daripada konco-konco ah long tersebut bertindak menendang pintu depan rumah dan berjaya memecah masuk.
Difahamkan, lelaki berkenaan yang berada dalam ketakutan digertak oleh mereka yang memintanya menjelaskan hutang.
Anak perempuan mangsa yang turut berada di situ cuba melarikan diri kerana khuatir diapa-apa oleh mereka.
Bagaimanapun, setelah mereka memberi amaran kepada lelaki tersebut, mereka bergegas keluar dari rumahnya. Sepasukan polis peronda MPV yang dimaklumkan jiran tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian.
Seorang anak lelaki mangsa yang berada tidak jauh dari situ sewaktu kejadian memberitahu dia ternampak kira-kira lima lelaki dipercayai berketurunan Cina menaiki dua buah kereta mengetuk pintu depan rumahnya dengan kasar.
Mangsa kemudiannya membuat laporan polis sejam kemudian di Balai Polis Sentral.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan