Seorang jururawat membersihkan bayi tersebut
MARUDI: Seorang ibu muda berusia dalam lingkungan 20-an telah melahirkan anak pertamanya di sebuah bilik sewa di sebuah bangunan di pekan ini pagi Jumaat lalu, jam 10.30 pagi.
Menurut sumber, ibu warga Filipina itu telah menginap di bilik sewa tersebut tidak sampai seminggu sementara menunggu beliau melahirkan anaknya.
Tetapi, pada pagi itu wanita terbabit tidak dapat menahan kesakitan kerana sudah ada tanda-tanda untuk melahirkan anak, bertindak menghubungi teksi untuk membawanya ke hospital.
Bagaimanapun, sebelum teksi tiba di bilik sewanya, si ibu itu telah melahirkan bayi perempuan yang sihat dan cukup sifat dalam bilik sewa tersebut.
Rakan sebiliknya terus memaklumkan kepada pihak Hospital Marudi dan sejurus itu sebuah ambulans tiba bersama dua orang jururawat bagi membantu dan melihat keadaan bayi dan ibunya.
Kedua-dua mereka kemudian dibawa segera ke Hospital Marudi untuk diberi rawatan lanjut.
Sementara itu, laluan kaki lima bangunan rumah kedai terbabit turut dikerumuni orang ramai yang mahu melihat kejadian ‘drama’ tersebut. Dalam pada itu, difahamkan keadaan ibu terbabit dan bayinya adalah stabil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan