PSY menghadiri sidang akhbar di Paris kelmarin
PARIS - Penyanyi rap Korea Selatan, Psy kelmarin mengaku bahawa lagu Gangnam Style bukan kejayaan sebenar kerana kejayaannya akan dilakar menerusi lagu terbaharunya nanti.
Psy, 34, berkata, dia tidak bersetuju kejayaannya telah tercipta kerana lagu Gangnam Style.
"Saya tidak melakukan apa-apa, orang ramai menonton YouTube, mereka menemui muzik video ini dan membawa ia kepada dunia. Bukannya saya (yang menyebabkan lagu itu menjadi popular).
"Kini giliran saya pula. Lagu kedua ini saya akan melakarkan kejayaan," katanya ketika sidang akhbar di sini.
Sehari sebelum itu, Psy atau nama sebenarnya Park Jae-sang berjaya menarik kira-kira 20,000 penonton menyaksikan persembahannya di Dataran Trocadero, Paris.
Album terbaharunya yang bakal diterbitkan Mac tahun depan menampilkan sebuah lagu baharu dalam bahasa Korea dan Inggeris serta sejumlah lagu daripada album lamanya.
"Kepada warga Korea Selatan, ia akan menjadi hit terhebat Psy tetapi, kepada dunia, ia adalah sesuatu yang baharu. Ia akan menjadi album sulung antarabangsa saya," katanya.
Di laman YouTube, persembahan tarian kuda Psy telah ditonton lebih 665 juta kali. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan