Sabtu, 10 November 2012

Pusat Jagaan Wanita Disita

Diberi penerangan selepas tempat mereka berlindung diserbu dan disita pihak berkuasa

KUALA LUMPUR – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyerbu dan menyita sebuah rumah yang dijadikan pusat perlindungan wanita dan remaja di Kampung Sungai Mulia, Setapak di sini yang beroperasi tanpa lesen sejak lebih 24 tahun lalu.

Pengarahnya, Noormah Abdul Rauf berkata, dalam serbuan selama tiga jam bermula pada pukul 10 pagi itu, pusat tersebut didapati menempatkan 69 wanita berumur antara 14 dan 30 tahun termasuk seorang bayi berusia lima bulan tanpa mengikut syarat yang ditetapkan Akta Pusat Jagaan 1993.

Pusat yang diberi nama Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja) itu didapati gagal mematuhi piawaian minimum yang ditetapkan di bawah akta tersebut.

“Dengan keluasan rumah tersebut, maksimum penghuni yang dibenarkan hanya seramai 28 orang tetapi penjaga pusat itu meletakkan seramai 69 orang di ruang yang sempit. Mana selesa?

“Sedangkan pihak keluarga juga membayar yuran kepada pusat itu sebanyak RM10,000 setahun untuk seorang bagi menjaga ahli keluarga mereka yang mempunyai masalah sosial atau sedang mengandung,” katanya kepada pemberita selepas serbuan ke pusat itu di sini semalam.

Menurut beliau, antara piawaian yang perlu dipatuhi oleh penjaga pusat tersebut ialah had bilangan penghuni tidak melebihi keluasan ruang lantai yang dibenarkan bagi memastikan keselesaan penghuninya.

Piawaian lain yang perlu dipatuhi ialah nisbah penjaga dengan penghuni perlulah mencukupi, menyediakan modul latihan dan jadual aktiviti harian yang sesuai.

“Hasil siasatan JKM mendapati Kewaja gagal mematuhi piawaian yang telah ditetapkan walaupun telah diberi nasihat dan panduan sejak tahun 2003,” jelas beliau.

Ketika serbuan itu dibuat, pihak berkuasa mendapati 69 penghuni pusat jagaan tersebut terdiri daripada 42 wanita yang sedang mengandung, 19 orang berada dalam pantang selepas baru melahirkan anak manakala tujuh lagi menghadapi pelbagai masalah sosial yang lain.

Noormah bersama beberapa pegawai JKM menyita pejabat Kewaja

Mereka kemudiannya, termasuk seorang bayi yang berusia lima bulan, ditempatkan untuk sementara waktu di Asrama Bahagia, Kampung Pandan di sini untuk tujuan saringan sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.

Menurut Noormah, pihak pengurusan Kewaja perlu mengemukakan perakuan pendaftaran bagi pusat jagaan tersebut kepada JKM untuk mengoperasikan semula tempat tersebut dalam tempoh 21 hari dari tarikh notis ia dikeluarkan.

“Sekiranya Kewaja gagal berbuat demikian, suatu perintah mahkamah akan diperoleh bagi menghalang premis tersebut daripada dijadikan pusat jagaan,” katanya.

Tambah Noormah, sekiranya didapati bersalah, Kewaja boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pusat Jagaan 1993.

Semua penghuninya terpaksa tinggal dalam keadaan tidak selesa di rumah itu yang menyediakan sebuah ruang tamu dan dua bilik untuk mereka.

Selain itu, mereka juga terpaksa tidur beramai-ramai di ruang tamu yang sempit selain persekitaran yang kurang bersih dan tidak selamat kepada penghuni.

Seorang penghuni yang hanya mahu dikenali sebagai Maya, 16, berkata, kehidupan yang beliau impikan untuk berubah apabila memasuki pusat jagaan tersebut selepas terjebak dengan masalah sosial disifatkan ‘tidak seindah yang disangka’.

“Pada mulanya saya ingat saya ingin mendalami ilmu agama tetapi tempat ini tidak menyediakan guru yang mampu untuk mengajar agama, sebaliknya kami hanya belajar sesama sendiri sahaja,” katanya.

Bagi Effa, 19, pula, tindakannya yang pernah melarikan diri akibat tidak tahan dengan kehidupan di pusat itu yang disifatkannya sebagai tempat yang teruk menjadi mimpi ngeri apabila dia ditangkap dan dipukul warden pusat berkenaan.

“Saya memang tidak sangka kehidupan di sini amat teruk, mereka mengenakan yuran tetapi tidak menyediakan keselesaan kepada kami. Bayangkan ibu mengandung, ibu yang baru bersalin disuruh membuat kerja-kerja berat, jadi perkara inilah membuatkan kami ingin memberontak,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan