Taufan Sandy yang melanggar New York, Amerika Syarikat (AS) pada Isnin lalu merupakan pengalaman bencana alam pertama yang dihadapi oleh Muhammad Syazwan Adzhar, 21, dan rakan-rakannya yang sedang belajar di sana.
"Hujan lebat dan ribut begitu kuat pada malam itu. Kelas dan aktiviti di kampus dibatalkan kerana bimbang taufan Sandy semakin buruk.
"Semakin lama, angin semakin kuat bertiup dan bekalan elektrik beberapa kali terputus. Alhamdulillah, mujur lampu hanya malap dan tidak terputus sepenuhnya.
"Orang ramai di kawasan persekitaran mula berpusu-pusu keluar ke pasar raya atau kedai-kedai terdekat untuk membeli bekalan makanan," kata Muhammad Syazwan memberi gambaran keadaannya pada malam kejadian.
Muhammad Syazwan merupakan pelajar tahun tiga dalam bidang Geosains di Universiti Pennsylvania (PSU). Sepanjang kelas dibatalkan, Muhammad Syazwan dan rakan-rakan hanya terperuk di rumah dan memantau perkembangan taufan Sandy melalui internet serta saluran The Weather Channel.
Sebaik mendapat berita taufan Sandy, Muhammad Syazwan turut menghubungi rakan-rakannya di kawasan-kawasan lain.
"Teman-teman di Institut Teknologi Rochester dalam keadaan baik, cuma kawan-kawan di Institut Teknologi Stevens, New Jersey sedikit cemas apabila berdepan dengan banjir dan masalah bekalan elektrik," katanya.
Kesan kemusnahan yang ditinggalkan oleh Sandy di Long Branch, New Jersey
Menurut Wisma Putra, kira-kira 1,500 rakyat Malaysia kini selamat walaupun terkandas di kawasan teruk seperti Washington, Maryland dan Virginia.
Taufan Sandy telah merosakkan sekurang-kurangnya 7.3 juta kediaman dan premis perniagaan di pantai timur AS setakat Selasa lalu.
Malah, ia memaksa tiga reaktor nuklear ditutup selepas sistem penyejukan air dan jaluran bekalan elektrik mengalami kegagalan. Bagaimanapun, tiada masalah besar melibatkan nuklear berlaku.
Selain itu, pihak berkuasa New York mengambil langkah keselamatan dengan menghentikan semua operasi sistem kereta api bawah tanah, manakala hampir semua terowong dan jambatan dari Manhattan turut ditutup.
Seramai 2,100 anggota pasukan keselamatan AS pada hari Ahad dan Isnin lalu, dikerah ke daerah terancam bagi mengawal keadaan penduduk awam.
Selasa lalu, Presiden AS, Barack Obama mengisytiharkan bencana besar ekoran kemusnahan yang berlaku.
Taufan Sandy melanda pantai timur AS itu bergerak ke barat dengan membawa angin selaju 281 kilometer sejam.
Taufan itu merupakan siklon tropika lewat musim yang membawa bencana ke beberapa bahagian Caribbean, tengah Atlantik dan timur laut AS.
Terpaksa berjalan kaki selepas perkhidmatan kereta api bawah tanah ditutup
Sandy terbentuk daripada gelombang tropika di barat Laut Caribbean. Ia menjadi gelombang tekanan rendah tropika dan kekuatannya dengan cepat meningkat.
Dengan mengekalkan kekuatan kategori 1, Sandy bergerak ke arah barat laut dan seperti yang dijangkakan ia mendekati pantai AS.
Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) AS mengumumkan taufan sampai pada pukul 8 malam, 29 Oktober di barat daya Atlantic City, New Jersey. Sandy diisytihar sebagai siklon pasca tropika pada pukul 7 malam.
Impak Sandy ke atas AS meliputi kawasan dari negeri Florida sehingga wilayah New England dengan membawa angin kuat jauh ke daratan sehingga ke pergunungan di barat Virginia.
"Taufan Sandy agak merisaukan kerana walaupun pada waktu tengah hari ia masih lagi di lautan Atlantik, tetapi angin kuat dan hujan lebat sudah dirasai di tempat kami," kata Muhammad Syazwan yang menetap di Kolej Negeri, PSU yang terletak kira-kira 418 kilometer dari pusat bandar New York.
Di Central Park, New York orang ramai yang melalui sebuah kawasan berdekatan kondominium One57 yang masih dalam pembinaan berada dalam keadaan terpinga-pinga tatkala memandang puncak bangunan tersebut. Lengan kren pada One57 patah selepas dilanda taufan Sandy dan kini berada dalam keadaan terjuntai.
Orang ramai mendapatkan bekalan makanan di Brooklyn, New York sebaik ribut reda
Tiada ulasan:
Catat Ulasan