Jumaat, 2 November 2012

24 Rumah Rosak Akibat Ribut Di Miri


Nak tengok gambar2 ribut di Miri Klik Disini

MIRI: Sebanyak 24 rumah di sini dilaporkan telah rosak akibat ribut yang melanda Miri pada petang Selasa lalu.

Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Miri Goh Yong Kiet memberitahu, 20 kediaman berkenaan adalah di Kampung Pujut Tanjong Batu, tiga di Krokop dan sebuah di Piasau.

“Kejadian ini melibatkan seramai 126 penduduk. Saya percaya kami (JKM) akan menerima lebih banyak aduan lagi dari-pada mangsa,” jelasnya.

Beliau menjelaskan perkara itu ketika ditemui semasa menyampaikan bantuan tabung bencana alam untuk tujuh kediaman di Krokop dan Kampung Pujut Tanjong Batu.

Bagaimanapun, mangsa juga dinasihati untuk membuat laporan polis tentang kerosakan atau kerugian yang dialami akibat kejadian mengejutkan itu.

“Mangsa harus membuat laporan polis terlebih dahulu dengan mengepilkan bersama maklumat seperti anggaran kerugian, kos pembaikan dan gambar untuk menyokong kes mereka,” jelasnya. Maklumat berkenaan penting untuk membolehkan mangsa mendapat bantuan daripada JKM.

Pada majlis tersebut, sebanyak empat keluarga di Pujut Tanjong Batu dan tiga keluarga di Krokop menerima bantuan kewangan RM300 daripada JKM.

Beliau memberitahu, bantuan sebanyak RM300 sehingga RM2,500 diperuntukkan oleh JKM kepada mangsa untuk memperbaiki kediaman yang rosak akibat bencana alam. Jumlah bantuan kewangan bergantung kepada keadaan kerosakan kediaman mangsa.

Beliau turut menegaskan, bantuan bencana alam daripada JKM adalah untuk kediaman yang memiliki geran tanah, bukan untuk penghuni kediaman setinggan.

Goh menambah, mangsa di kediaman setinggan dinasihati untuk melaporkan kerosakan kediaman mereka kepada Pejabat Residen Miri.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan