Sabtu, 3 November 2012

SUPP Bantu Rakyat Mohon BR1M

Ting bertanya khabar warga emas yang berada di Persiaran Kabor

MIRI: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) membuka kaunter di pekarangan Persiaran Kabor di sini bagi membantu orang awam mengisi permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 untuk tahun depan.

Pembukaan kaunter terbabit diketuai oleh Pengerusi SUPP Piasau Datuk Sebastian Ting, Pengerusi SUPP Pujut, Andy Chia dan Pengerusi SUPP Lambir, Lee Thin Hin.

Menurut Ting, lebih 900 borang telah diedarkan kepada orang ramai dan sejumlah 75 borang telah lengkap diisi telah diterima oleh pihaknya.

“Pembukaan kaunter itu adalah sebahagian usaha kita untuk membantu rakyat yang layak bagi memohon bantuan berkenaan.

“Pada masa yang sama, kita turut akan membantu menyerahkan borang yang telah lengkap diisi ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya di sini semalam.

Ting menjelaskan SUPP juga akan mengadakan sesi yang sama untuk membantu lebih ramai rakyat memohon bantuan berkenaan, terutamanya mereka yang kurang pasti mengenai BR1M yang disediakan oleh kerajaan.

“Malam ini (semalam) kita akan membuka kaunter yang sama di kawasan kedai RPR Batu 6 bagi membantu rakyat di setiap kawasan serta menyediakan maklumat mengenai BR1M 2.0,” katanya sambil menambah SUPP akan terus menyediakan kaunter yang sama di pelbagai tempat bagi tujuan itu.

Bagi penduduk di kawasan Krokop yang ingin memohon atau ingin mengetahui lanjut mengenai BR1M 2.0, boleh datang ke kaunter yang akan disedikan di Pasar Krokop 10 pada Ahad ini (4 November) bermula jam 8 hingga 11 pagi.

BR1M sejumlah RM500 bagi yang layak memohon ialah ketua kepada ahli yang tinggal serumah, ibu atau bapa tunggal mempunyai tanggungan berumur 20 tahun ke bawah, warga emas sebatang kara berumur 60 tahun dan ke atas, dengan jumlah pendapatan kasar bulanan isi rumah RM3,000 dan ke bawah.

Manakala bagi bantuan RM250 pula untuk bujang termasuk balu, janda dan duda yang tiada tanggungan berumur 21 tahun dan ke atas dengan jumlah pendapatan kasar bulanan RM2,000 dan ke bawah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan