Gambar Hiasan
ENGKILILI: Berpuluh-puluh buah kenderaan terkandas berdekatan dengan Rumah Christopher, Pais, Skrang apabila air setinggi tiga setengah kaki melimpahi jalan raya di situ bermula jam 10 pagi, semalam. Air melimpah dari anak sungai berdekatan kawasan Pais berikutan kawasan Sungai Ulu Skrang dilanda hujan lebat malam kelmarin.
Akibatnya jalan raya sepanjang 500 meter di kawasan Pais ditenggelami air sekali gus menyebabkan terputus hubungan dari wilayah Selatan dan Tengah Sarawak akibat kejadian itu.
Berikutan itu ramai pengguna jalan raya berpatah balik setakat jam 2 petang dan ada pula yang setia menanti sehingga air surut dan dapat dilalui kenderaan bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.
Seorang pemandu lori, Donny Kipa yang ingin pergi ke Lidong, Skrang berkata setakat ini hanya lori, bas dan kenderaan pacuan empat roda sahaja yang dapat meredah banjir itu.
Manakala kenderaan biasa seperti Kancil, Wira langsung tidak dapat meredah laluan banjir tersebut, jelas beliau.
“Saya terpaksa membatalkan hajat saya untuk mengambil barang binaan saya di Lidong, Skrang dan akan pergi semula esok hari (Selasa) sekiranya jalan raya itu dapat dilalui nanti,” katanya.
Difahamkan kejadian banjir di kawasan Pais mungkin boleh menjadi lebih buruk sekiranya berlaku air pasang besar di Sungai Batang Lupar Sri Aman pada petang ini (Isnin) nanti.
Sementara itu beberapa anggota polis dari kawasan Sri Aman telah dihantar ke lokasi banjir terbabit bagi mengawal lalu lintas trafik di kawasan terbabit.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi di Kuala Lumpur meramalkan hujan di sana sini dan ribut petir dijangka berlaku semasa sambutan Deepavali, hari ini.
Menurut jabatan itu, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu dijangka hujan pada sebelah pagi. Manakala Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah juga dijangka mengalami hujan di sana sini di kawa-san pantai pada waktu pagi. Di negeri lain, cuaca cerah diramal pada sebelah pagi, kata jabatan itu semalam.
Pada sebelah petang, ribut petir di beberapa tempat dijangka berlaku di Selangor, Kuala Lumpur, Perlis, Kedah, Putrajaya, Melaka, Johor, Pahang, Sarawak dan Sabah. Hujan juga dijangka berlaku di Kelantan dan Terengganu pada sebelah petang.
Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari www.met.gov.my untuk mendapatkan maklumat cuaca pada setiap hari di seluruh negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan