Selasa, 13 November 2012

Pusat Panggilan 1Malaysia

Najib melawat Pusat Panggilan 1Malaysia

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam melancarkan Pusat Panggilan 1Malaysia (1MOCC) iaitu sebuah pusat penyelesaian setempat untuk rakyat mengemukakan pertanyaan, aduan atau cadangan mengenai perkhidmatan awam.

Beliau berkata, pusat yang beroperasi 24 jam seminggu termasuk pada cuti umum itu sejajar dengan prinsip rakyat didahulukan dan diyakini dapat meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

"Saya yakin dan percaya 1MOCC ini benar-benar dapat meletakkan perkhidmatan awam dan kerajaan sebagai sesuatu yang dibanggakan oleh rakyat.

"Saya amat berharap 1MOCC ini disokong dan didukung sepenuhnya oleh semua jabatan dan agensi kerajaan atas semangat kita sebagai satu entiti," katanya pada majlis pelancaran 1MOCC di sini semalam.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri G. Palanivel.

1MOCC merupakan satu projek National Flagship di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang membolehkan orang awam mengemukakan pertanyaan, aduan atau cadangan kepada pelbagai agensi kerajaan menggunakan nombor rujukan tunggal 03-8000 8000.

Selain itu, pengguna boleh memilih untuk menggunakan faks di talian 03-8000 8001, melayari laman web di www.malaysia.gov.my, e-mel 80008000@1mocc.gov.my dan laman-laman sosial iaitufacebook.com / myGovernment dan twitter.com / myGovPortal.

Perdana menteri berkata, inisiatif itu akan lebih memudahkan rakyat kerana hanya satu nombor yang perlu diingat selain membolehkan kerajaan mencapai objektif dengan kos minimum.

"Dengan cara ini, kita ada satu perkhidmatan yang revolusionari, tiada tolok bandingan di mana-mana negara. Kita sudah mencapai sesuatu yang di luar jangkaan yang mungkin tidak terfikir oleh kita dan hari ini ia menjadi satu kenyataan," katanya. - Bernama


2 ulasan:

  1. Balasan
    1. jenama tu...hehehe...
      klinik 1msia, kedai 1msia...
      pas ni susu 1msia, tv 1msia...

      Padam