KOTA KINABALU: Tiga beranak bernasib baik setelah sempat melarikan diri setelah bilik tingkat atas rumah mereka terbakar dalam satu kejadian di perumahan berhampiran stesen minyak di Kampung Likas malam Selasa.
Insiden terjadi jam 11.30 malam itu, ketiga-tiga mereka sedang nyenyak tidur di tingkat bawah dan hanya menyedari kejadian berkenaan setelah dikejutkan oleh salah seorang pekerja stesen minyak di situ.
Menurut seorang pekerja di stesen minyak itu yang dikenali sebagai Azmin Mohamad, 24, dia telah dimaklumkan mengenai kejadian itu apabila ada pelanggan di situ terlihat asap tebal dari rumah berkenaan.
“Selepas itu, saya dan beberapa rakan sekerja lain bergegas ke rumah terbabit sambil membawa alat pemadam api.
“Kami kemudian menjerit cuba mengejutkan penghuni rumah dan tidak lama selepas itu tiga lelaki termasuk seorang warga tua keluar dari situ,” katanya.
Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Affendy K Ramin, ketika dihubungi kelmarin mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 11.57 malam.
“Tiga jentera dengan kekuatan 19 anggota telah digegaskan ke lokasi kejadian dan api berjaya dikawal beberapa minit kemudian.
“Siasatan awal mendapati kebakaran ini membabitkan sebuah bilik di tingkat atas di rumah itu dan kita masih mencari punca sebenar kejadian berkenaan,” katanya sambil menambah, tiada kemalangan jiwa berlaku dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan