Udang karang berbelang oren hitam yang diberi nama Split
BOSTON - Seekor udang karang unik berwarna oren dan hitam yang sinonim dengan warna hari Halloween diberikan rumah baharu di Akuarium New England di sini, Amerika Syarikat (AS).
Orang ramai terutama kanak-kanak akan memakai kostum menyeramkan pada perayaan tersebut yang dikaitkan dengan elemen hantu dan disambut pada setiap 31 Oktober di AS.
Udang betina seberat 450 gram itu yang diberi nama Split, ditangkap di perairan Lautan Atlantik dekat bandar Salem, dalam negeri Massachusetts pada minggu lalu.
"Haiwan ini memang memiliki belang oren hitam," kata seorang jurucakap pusat akuarium tersebut berhubung spesies yang jarang ditemui itu.
Bahagian kiri udang tersebut berwarna hitam, manakala warna oren terdapat di sebelah kanannya.
Mengulas mengenai keganjilan tersebut, beberapa pakar biologi marin berkata, warna pelik itu mungkin disebabkan oleh pemecahan sel semasa proses persenyawaan. Hidupan laut itu bakal dipamer kepada orang ramai selepas tempoh kuarantin tamat.
"Dianggarkan terdapat cuma seekor udang karang seperti ini dalam setiap 50 hingga 100 juta udang karang," ujar pihak akuarium berkenaan.
Udang karang pada kebiasaannya berwarna hijau. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan