Kereta Kenari yang dipandu mangsa telah terbalik
SARIKEI: Gara-gara mahu mengelak daripada melanggar seekor anjing yang berada di tengah jalan, kereta jenis Kenari yang dipandu seorang lelaki pertengahan umur telah hilang kawalan lalu terbalik.
Menurut pemandu terbabit, ketika itu dia sedang memandu seorang diri dari pusat bandar menuju ke salah satu tempat di luar kawasan bandar untuk berjumpa dengan rakannya.
“Apabila saya tiba berhampiran simpang Jalan Kiew Kwong Sarikei, tiba-tiba saya ternampak seekor anjing berwarna hitam berada di tengah jalan.
“Dalam cubaan saya untuk mengelak daripada melanggar anjing berkenaan, saya telah membunyikan hon kereta saya dan sebaik sahaja anjing tersebut terdengar hon kereta saya, ia telah bergerak ke bahu jalan.
“Namun apabila kereta saya berada lebih kurang 10 meter dari anjing terbabit, secara tiba-tiba ia berpaling dan berlari balik ke tengah jalan,” cerita pemandu terbabit ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Kejadian kemalangan ini berlaku pada sekitar jam 6 petang, kelmarin, lebih kurang lapan kilometer dari pusat bandar.
Tambahnya, menurut sesetengah pendapat masyarakat Cina jika mereka melanggar anjing khususnya anjing hitam, mereka boleh ditimpa nasib malang.
“Tetapi bagi diri saya, ia telah menjadi keadaan yang sebaliknya, di mana saya belum melanggarnya, kereta yang saya pandu pula telah hilang kawalan, lalu terbalik.
“Manakala anjing itu masih hidup dan terus berkeliaran di tempat berkenaan,” ujarnya.
Menurutnya dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan berikutan kejadian tersebut.
Sementara itu seorang penduduk yang tinggal berhampiran lokasi kejadian yang sempat ditemui pemberita berkata, anjing tersebut telah berkeliaran di kawasan berkenaan sejak beberapa hari lepas.
“Selama ini ia jarang berada di kawasan berkenaan, tetapi sejak pasangannya dilanggar kereta di lokasi yang sama dan mati, ia seolah-olah terus menunggu dan mundar-mandir berhampiran dengan bangkai pasangannya itu yang sedang mereput.
“Kehadiran anjing itu di tempat terbabit juga pernah beberapa kali hampir menyebabkan kemalangan berlaku terutama kepada beberapa orang penunggang motosikal yang melalui kawasan terbabit,” jelas penduduk terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Wong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan