Khamis, 6 Disember 2012

Penganggur Direman Dua Hari


MIRI: Seorang penganggur yang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam satu kes pecah rumah dan curi diperintahkan Mahkamah Majistret petang semalam supaya direman dua hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Perintah itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Rendah Haizah Tamin setelah membenarkan permohonan reman yang dikemukakan pegawai penyiasat Sarjan Chiu Ann Yan dari Balai Polis Pusat Miri.

Dalam permohonannya, Chiu memberitahu sekitar November lalu, seorang peniaga telah membuat laporan polis di Balai Polis Lutong dengan mendakwa rumahnya yang terletak di Jalan Maigold Taman Desa Senadin dipecah masuk pencuri.

Dalam aduannya, pengadu yang berusia 49 tahun mendakwa sekitar jam 8.45 malam, 25 November lalu, semasa sampai di kediamannya, beliau mendapati rumahnya telah dipecah masuk melalui tingkap di bahagian hadapan yang dibuka secara paksa.

Pengadu memberitahu semasa kejadian, dia dan isteri sedang menghadiri majlis perkahwinan anak seorang rakan mereka yang diadakan di sebuah hotel di sini.

Beliau yang kemudian membuat pemeriksaan lanjut mendapati satu unit komputer riba jenama Acer berwarna hitam bernilai RM2,000, tiga bentuk cincin emas (RM6,000) dan wang syiling RM300 telah hilang dipercayai dicuri. Berikutan kejadian itu, pengadu telah mengalami kerugian berjumlah RM8,300.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 3.15 petang, 4 Disember lalu, polis berjaya menahan seorang lelaki di pekarangan Balai Polis Pusat Miri kerana disyaki terlibat dalam kes.

Dalam permohonan lanjutnya, Chiu memberitahu reman selama tiga hari mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek yang berusia 22 tahun dari RPR Batu 6 di sini amat diperlukan untuk membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes itu.

Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk merampas barang kes. Tambahan pula, percakapan berhemat suspek masih belum dirakam dan membebaskan dia lebih awal akan menjejaskan siasatan lanjut polis.

Bagaimanapun, mahkamah hanya membenarkan reman dua hari dan memerintahkan suspek dihadapkan semula ke mahkamah pada 7 Disember ini untuk sebutan kes.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan