Khamis, 6 Disember 2012

Mayat Bayi Ditemui

Anggota polis sedang melakukan pemeriksaan di tempat kejadian pada petang kelmarin

KOTA KINABALU: Penduduk Kampung Warisan, Inanam di sini tergamam setelah mendapati bau busuk disangka bangkai binatang rupa-rupanya mayat bayi yang ditinggalkan dalam beg plastik berhampiran longgokan sampah di belakang perkampungan itu.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kejadian penemuan seorang bayi yang sempurna sifat itu kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.

Menurut beliau, sepasukan polis digegaskan ke lokasi terbabit dan hasil siasatan awal mendapati penduduk mendakwa telah terhidu bau busuk sejak tiga hari lepas yang berpunca daripada longgokan sampah berkenaan.

“Salah seorang penduduk yang merupakan wanita berusia 30an telah pergi memeriksa dan mengesan punca bau busuk itu datang pada petang kelmarin.

“Ketika melakukan pemeriksaan, wanita itu terlihat sebuah beg plastik hitam mencurigakan.

“Setelah beg plastik itu diperiksa, didapati ia mengandungi mayat seorang bayi yang masih belum diketahui jantinanya,” katanya.

Terkejut dengan penemuan berkenaan, penduduk di situ kemudiannya sepakat menghubungi pihak polis untuk meminta bantuan.

“Setakat ini, polis masih belum mengenal pasti jantina bayi itu namun kita menjamin ia akan diketahui dalam masa terdekat.

“Kita masih menyiasat perkara ini dan mayat bayi itu sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan