Sabtu, 21 Julai 2012

Bilik Stor Pejabat SUPP Piasau Terbakar

Ting (kiri), Andy Chia dan Karambir Singh melihat kerosakan di bilik stor pejabat SUPP Piasau 

MIRI: Bilik stor pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Piasau di pusat komersil Pelita di sini musnah dijilat api pada awal pagi semalam.

Kejadian berlaku sekitar jam 2 pagi yang disedari oleh penghuni yang menyewa berdekatan blok bangunan itu setelah terlihat api dan asap dari tempat kejadian.

Mereka turut mendakwa terdengar bunyi letupan kecil yang kemudian memaklumkan kepada pihak bomba dan penyelamat.

Seramai 17 anggota dan dua jentera pemadam yang dikerahkan ke tempat kejadian berjaya mengawal dan memadam api daripada merebak.

Pengerusi SUPP Piasau, Datuk Sebastian Ting ber-kata, siasatan awal memberitahu tiada perbuatan khianat dalam kebakaran itu.

“Bilik berkenaan menyimpan empat unit komputer, dokumen-dokumen lama termasuk keputusan-keputusan pilihan raya. Kita masih menyiasat jumlah kerugian yang dialami,” jelasnya.

Ketika kejadian, Ting berada di Kuala Lumpur dan bergegas ke Miri pagi semalam setelah dimaklumkan tentang kejadian itu.

Menurut beliau, ia merupakan kes kebakaran kedua dengan kejadian pertama yang berlaku tahun lalu hanya melibatkan kebakaran kecil.

“Berdasarkan CCTV yang dipasang di belakang dan hadapan bangunan, kita dapati tiada individu yang mencurigakan memasuki pejabat kita sebelum kebakaran berlaku,” ujarnya.

Beliau bersyukur kerana tiada kecederaan atau kematian berlaku akibat kejadian mengejutkan itu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan