Sabtu, 21 Julai 2012

Helikopter Terhempas, Tiga Hilang


Inilah model helikopter Eurocopter EC 120 yang terhempas di Muara Batang Lupar. Gambar kecil: Rico. 

Ahli keluarga Peter menunggu berita tentang insiden tersebut di jeti penumpang Pekan Sebuyau

KUCHING: Seorang juruterbang warga Jerman terselamat manakala tiga lagi penumpang, termasuk Naib Pengerusi PKR Sarawak Peter Ato Mayau, masih hilang apabila sebuah helikopter milik syarikat Sebiro Holdings terhempas di muara Sungai Triso, Sri Aman, pagi semalam.

Helikopter yang diterbangkan Rico Steger, 35, terhempas pada kira-kira jam 9.30 pagi setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada jam 9 pagi dengan membawa tiga pekerja syarikat tersebut atas urusan kerja di Nanga Merit, Kapit.

Mangsa yang masih hilang ialah Peter yang juga jurutera, 53, juruukur bahan Siti Khuzaimah Anwar dan arkitek Henry Loh. Mereka dikatakan dalam perjalanan untuk melakukan pemeriksaan terhadap projek pembinaan sekolah di tempat dituju.

Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Mat Jusoh Mohamad berkata, Rico yang menerbangkan helikopter Eurocopter EC 120 berenang dengan jaket keselamatan kira-kira empat jam untuk tiba di Kampung Tebelu yang terletak 20 kilometer dari Pekan Sebuyau.

“Maklumat awal yang kita terima, ketika kejadian helikopter terbang dalam cuaca buruk dan dikatakan mengalami masalah teknikal,” katanya kepada pemberita.

Mat Jusoh berkata, gerakan mencari dan menyelamat tiga lagi mangsa yang hilang masih diteruskan polis dengan bantuan Pasukan Gerakan Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Gerakan mencari dan menyelamat dihentikan pada jam 7 malam tadi dan diteruskan pagi ini.

Pemilik Sebiro Holdings, Datuk Sng Chee Hua turut mengesahkan helikopter tersebut adalah milik syarikatnya dan digunakan oleh para pekerjanya yang terbabit dalam insiden berkenaan.

Sementara itu, ahli keluarga Peter bergegas ke Pekan Sebuyau sejurus dimaklumkan tentang insiden terbabit dan mengharapkan berita gembira ketika menunggu di Balai Polis Sebuyau.

Isteri Peter, Agnes Batang, 45, memberitahu beliau sendiri menghantar suaminya ke pejabat Sebiro pada kira-kira jam 8 pagi semalam.

“Saya ada cakap pada dia (Peter)… cuaca tidak bagus untuk terbang, tapi suami saya diam saja,” kata Agnes yang mempunyai tiga anak berusia antara 25 dan 18 tahun.

Menurut Agnes, pada kira-kira jam 8.30 pagi, beliau menghubungi suaminya untuk bertanya siapa yang akan menghantarnya ke lapangan terbang dan dijawab Peter: “Jangan risau, ada orang hantar.”

Pada kira-kira jam 2 petang, Agnes menerima panggilan memaklumkan kejadian yang menimpa suaminya.

Peter pernah bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Negeri 2011 dalam pertandingan tiga penjuru menentang Roland Sagah daripada Barisan Nasional (BN) dan Ateng Jeros (SNAP) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat. Sagah menang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan