Ahad, 22 Julai 2012

Datuk Ditahan Ponteng Puasa


BANDARAYA MELAKA : Hari pertama bulan Ramadan dicemari dengan tingkah laku warga emas beragama Islam tanpa segan silu menikmati sarapan pagi di sebuah kedai makan bukan Islam.

Tanpa menghiraukan orang ramai yang lalu lalang, warga emas terbabit dengan selamba menghirup hidangan kopi panas sambil menikmati roti bakar.

Bagaimanapun, perbuatan mereka itu dikesan anggota Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) yang bertindak menyerbu kedai makan berkenaan, pagi semalam.

“Saya mengaku saya makan tadi,” kata warga emas berusia 65 tahun itu sebaik saja menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

Ketua Penguatkuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, warga emas berkenaan merupakan seorang daripada lima yang dicekup kerana makan di khalayak ramai di bulan puasa.

“Kesemua mereka berusia 40 hingga 65 tahun itu, termasuk tiga daripadanya sudah bergelar warga emas, di tahan di kawasan ‘panas’ tempat tumpuan mereka yang ponteng puasa.

“Lebih mengejutkan, ada antara warga emas berkenaan sudah pun bergelar datuk kepada sembilan orang cucu,” katanya kepada pemberita ketika mengikuti operasi berkenaan, semalam.

Rahimin turut melahirkan rasa kecewa kerana masih ada pengusaha kedai makan Islam yang beroperasi di siang hari, sekali gus memberi ruang kepada mereka yang tidak berpuasa.

“Tindakan peniaga ini mencemarkan imej umat Islam sendiri. Sepatutnya mereka sama-sama menghormati Ramadan dan tidak mengambil kesempatan untuk kejar keuntungan semata-mata,” katanya.

Menurutnya, kesemua yang ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka yang memperuntukkan denda RM1,000 dan penjara enam bulan.

Berikutan itu juga, katanya, Jaim akan terus melipat gandakan penguatkuasaan untuk memastikan kesucian Islam sepanjang Ramadan ini tidak diperlekehkan.

Katanya, ini termasuk tindakan terhadap mereka yang dikesan membeli nombor ekor pada bulan Ramadan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan