MIRI: Dua lelaki warga asing masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan dua kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen pagi semalam kerana kesalahan masuk ke negeri ini secara haram.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran sebaik selesai hukuman penjara kelak.
Hukuman itu dijatuhkan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud setelah menimbangkan beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan kedua-dua tertuduh, keterangan fakta kes serta mengambil kira berat kesalahan yang dilakukan mereka.
Amat Parman, 33, dari Jawa Barat, Indonesia dan Abdul Kudus Sheikh, 30, dari Bangladesh masing-masing didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta yang sama.
Mengikut kesalahan ini, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali serta boleh disebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan kes pertama, Amat telah ditangkap pada jam 7.05 malam, 9 Julai lalu di rumah kongsi Jalan Luak 3 di sini untuk tujuan pemeriksaan kerana disyaki warga asing.
Ketika disoal siasat awal polis, tertuduh gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan sah yang membenarkan dia memasuki dan tinggal di negeri ini.
Manakala dalam kes kedua, Abdul telah ditangkap pada jam 8 malam, 10 Julai lalu di rumah tidak bernombor di sebuah kawasan pembinaan perumahan Jalan Holiday Park di sini kerana kesalahan yang serupa - Utusan Borneo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan