Sabtu, 7 Julai 2012

Jambatan Pujut 7 Dibuka


MIRI: Keadaan trafik di sepanjang jalan menuju ke Permyjaya di Pujut 7 berjalan lancar selepas Jambatan Pujut 7 dibuka kepada pengguna di sini semalam.

Menteri Muda Komunikasi, Datuk Lee Kim Shin ketika hadir menyaksikan pembukaan jambatan berkenaan memberitahu, beliau gembira projek tersebut kini boleh mula digunakan.

“Projek ini dijangka siap pada penghujung Julai, namun hari ini (semalam) kita boleh menggunakan jambatan tersebut sekali gus membantu mengurangkan kesesakan.

“Saya pasti pengguna jalan raya yang sering melalui kawasan ini turut berasa amat gembira dengan pembukaan jambatan ini dan masalah kesesakan di kawasan ini (diatasi) khususnya pada waktu puncak,” jelasnya kepada pemberita.

Menurut Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, jambatan berkenaan merupakan sebahagian projek untuk memperluaskan jalan bagi membantu peningkatan populasi di kawasan Permyjaya, Tudan dan Senadin.

Katanya, Permyjaya direkodkan sebagai kawasan masalah kesesakan trafik paling teruk di Miri dan pembukaan jambatan tersebut merupakan jalan penyelesaian.

Fasa pertama bagi keseluruhan projek tersebut meliputi bulatan Pujut 7 disediakan lampu isyarat, memperbesarkan laluan sehala kepada dua hala dan melebarkan jalan dari lampu isyarat ke sepanjang jalan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

Sementara bagi peringkat seterusnya, kata Lee, iaitu sepanjang jalan IKBN menuju ke Jambatan ASEAN, Kuala Baram turut diperluaskan dan dijangka siap pada tahun depan.

“Kos bagi keseluruhan projek ini (fasa pertama dan kedua) bernilai RM115 juta dan fasa kedua masih di peringkat awal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada mereka yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung seperti kerajaan persekutuan, Jabatan Kerja Raya, Sarawak Energy Berhad, LAKU Management, Telekom Malaysia Berhad dan agensi kerajaan yang lain.

Hadir sama menyaksikan pembukaan jambatan tersebut semalam ialah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM), Lawrence Lai - Utusan Borneo


Tiada ulasan:

Catat Ulasan